KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada pasukan Terengganu (TFC) yang bergelar naib juara Piala FA, malam tadi.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya, Ahmad Samsuri berkata, TFC tetap wira di jiwa rakyat negeri itu walaupun keputusan tidak memihak mereka.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya merangkul kejuaraan Piala FA edisi ke-32 itu.
“Walau apa jua keputusannya, pasukan Terengganu tetap wira di jiwa kami dan telah buat yang terbaik. Tahniah Terengganu FC.

“Selamat kembali ke tempat masing-masing, hati-hati dalam perjalanan dan tak perlu tergesa-gesa memandangkan esok (hari ini) cuti peristiwa.
“Tetap teguh bersama dan Insya-Allah kita bangkit kembali nanti,” jelasnya.
Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sambil mengiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dalam perlawanan itu, TFC terpaksa akur tumpas 1-3 kepada JDT hasil jaringan tunggal Kipre Tchetche sekali gus gagal menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2011. – UTUSAN ONLINE