Warisan didakwa kelirukan rakyat Sabah

Warisan didakwa kelirukan rakyat Sabah

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) didakwa mengelirukan rakyat kononnya parti itu berjaya menyelesaikan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Datuk Armizan Mohd. Ali yang pernah mengetuai Urus Setia Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, menegaskan bahawa dakwaan Warisan itu bercanggah dengan fakta sebenar.

Kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, dakwaan Warisan yang menyelesaikan pindaan tersebut sedangkan hakikatnya usaha itu hanya berjaya diluluskan pada 2021, iaitu selepas Warisan tidak lagi berada dalam kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Pada 9 April 2019, ketika Warisan berada dalam kerajaan di negeri dan Persekutuan, rang undang-undang pindaan Perkara 1(2) dibentangkan di Dewan Rakyat. Namun pindaan itu gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

“Pindaan ini akhirnya hanya diluluskan pada 14 Disember 2021 dengan sokongan 200 Ahli Parlimen, sebelum turut diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember 2021,” katanya dalam klip video di Facebooknya hari ini.

Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa pindaan tersebut berlaku pada 2021, bukannya ketika Warisan memimpin kerajaan Sabah, apatah lagi Warisan bukan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada waktu itu.

Dalam isu lain, Armizan turut menolak dakwaan Warisan bahawa mereka memperjuangkan kuasa pelesenan perikanan laut dalam sehingga kononnya berjaya menyelesaikan tuntutan itu.

“Sebelum kuasa ini dikembalikan, semua lesen laut dalam dikeluarkan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Malaysia. Pemberian kuasa itu kepada Sabah hanya berlaku selepas era Warisan, iaitu pada tahun 2021,” katanya.

Menurut beliau lagi, perkara tersebut dipersetujui Majlis Khas MA63 dan diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021, sebelum disusuli Majlis Penyerahan Surat Empowerment berkaitan pelesenan laut dalam kepada Sabah pada 4 Disember 2021.

“Semua ini dipersetujui, diluluskan dan dilaksanakan pada tahun 2021 ketika Sabah diterajui GRS. Ini fakta. Yang auta adalah dakwaan Warisan,” katanya.

Armizan menambah, pemberian kuasa pelesenan laut dalam tidak mengambil masa lama untuk dilaksanakan, dan sekiranya dipersetujui, instrumen pemberian kuasa boleh disiapkan dalam tempoh singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×