fbpx

Pahang tamatkan penantian 26 tahun

PEMAIN Pahang meraikan kejayaan muncul juara hoki lelaki Sukan Malaysia ke-20 selepas menumpaskan Johor di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR: Pahang menepati ramalan muncul juara hoki lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2022 setelah menumpaskan Johor 1-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Barisan anak buah Mohammad Sufian Mohamad yang dihidangkan deretan peluang terpaksa menanti sehingga suku keempat permainan untuk menembusi kubu Johor yang dikawal ketat penjaga gol, Haziq Kamarozaman.

Pemain Pahang, Idris Samad bijak mencuri ruang kosong untuk meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 59 dan jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.

KEJAYAAN meraih emas hoki lelaki amat bermakna buat Pahang selepas 26 tahun menanti. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Ia penantian yang cukup lama buat skuad Tok Gajah apabila kali terakhir meraih pingat emas dalam acara hoki di Sukma adalah pada edisi 1996 ketika Pahang menjadi tuan rumah.

 

“Empat tahun lalu kami kecewa apabila tewas dalam penentuan penalti, jadi saya beritahu pemain untuk malam ini, saya mahu pemain habiskan permainan dalam tempoh 60 minit.

“Apa pun ini pencapaian terbaik kami dalam Sukma dan saya amat berbangga dengan semua pemain saya yang telah pun bersama saya sejak mereka berumur 10 tahun lagi,” jelas Suffian.

PAHANG nyata ‘kuasa’ hoki Sukma 2022 selepas turut menjuarai saingan wanita. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Empat tahun lalu di Perak 2018, Pahang hampir untuk menamatkan penantian itu namun dikecewakan oleh Sabah di final.

Lebih manis, skuad hoki wanita Pahang juga turut bergelar juara setelah menumpaskan Selangor 2-1, sementara Wilayah Persekutuan yang menumpaskan Pulau Pinang 4-1 meraih pingat gangsa. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!