PETALING JAYA: Diperkuatkan oleh kapten skuad kebangsaan, Steffi Sarge Kaur dan penjaga gol terbaik negara, Nurul Azurin Mazlan, Melaka United dikerah sehingga masa tambahan sebelum mempertahankan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) dengan menumpaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam final, sebentar tadi.
Jaringan Fatin Shahida Azmi pada minit ke-115 memastikan skuad Sang Kancil mengekalkan kejuaraan bola sepak wanita paling berprestij itu yang dimenangi tiga tahun lalu.
Biarpun Melaka dianggap pilihan untuk membawa pulang kejuaraan, namun Negeri Sembilan berjaya memberikan tentangan sengit di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan serangan bertali arus pada babak pertama.
Melaka yang dipimpin S. Ganesan Pillay banyak bertahan, terutama ketika Ayuna Anjani Lamsin hampir menghasilkan gol Negeri Sembilan pada minit ke-17.
Pada minit ke-36, kapten Negeri Sembilan, Malini Nordin terus melancarkan asakan, namun percubaannya terkena tiang.
Penjaring terbanyak kejohanan, Henrietta Justine yang sudah meledak tujuh gol sebelum ini turut berpeluang meletakkan Negeri Sembilan di depan tapi rembatannya tersasar.
Bersambung babak kedua, Melaka bangkit dengan permainan lebih kemas dan memperoleh peluang terbaik pada minit ke-71, namun gagal disempurnakan Fatin Shahida.
Permainan diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan, dan Fatin Shahida akhirnya meledak gol yang dicari-cari Melaka untuk memastikan kemenangan mereka. – UTUSAN ONLINE