Penjawat awam antara tujuh ditahan proses, edar ketum RM65,000

Penjawat awam antara tujuh ditahan proses, edar ketum RM65,000

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran daun ketum serta air ketum di Taman Sri Putra, Sungai Buloh pada 25 dan 26 November lalu.

Operasi yang dijalankan Pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sungai Buloh bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 pagi.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 655 kilogram daun ketum selain 251.5 liter air ketum turut dirampas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan daun ketum di beberapa kenderaan serta premis kediaman yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan pemprosesan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan air ketum yang disimpan dalam tong ais serta botol pelbagai saiz dipercayai siap untuk diedarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil operasi itu, dua buah kenderaan turut disita bagi membantu siasatan.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM65,000 dan semua barang kes telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Mohd. Yusri berkata, kegiatan pengedaran ketum dan air ketum boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat selain mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyalahgunaan bahan terlarang sambil memastikan keselamatan jalan raya di seluruh negara terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini