LIVERPOOL: Liverpool mempertimbangkan untuk membatalkan perjanjian pinjaman Arthur Melo dan mengalihkan fokus kepada pemain tengah sedang meningkat Borussia Dortmund, Jude Bellingham.
Bos Liverpool, Jurgen Klopp didakwa akan memutuskan sama ada mahu mengurangkan tempoh pinjaman Melo di Anfield, hanya dua minggu menandatangani pemain Brazil itu daripada Juventus.
Situasi itu nyata tidak adil buat Melo, 26, yang hanya membuat satu penampilan pendek selama 13 minit sejak tiba di England iaitu ketika Reds dimalukan 4-1 oleh Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.
Klopp sebelum ini menegaskan, peminat perlu bersabar dengan Melo yang tidak banyak beraksi tahun ini.

“Arthur kini hanya memerlukan bola sepak dan latihan, begitulah keadaannya.
“Dia tidak berada dalam latihan pasukan untuk seketika di Juventus, jadi dia memerlukan latihan pasukan yang betul – dan itulah yang kami lakukan dengannya.
“Patutkah dia bermain permainan penuh? Tidak, kerana dia perlu biasakan diri dengan intensiti dalam setiap pertandingan.
“Ia tidak seperti dalam Liga Juara-Juara anda perlu bekerja kurang daripada di Liga Perdana. Tidak sama sekali, terutamanya tidak di sini,” kata Klopp.

Begitupun pendirian Klopp nampaknya sudah berubah, dengan Reds didakwa telah memutuskan Arthur tidak bersedia untuk tugas itu dan Liverpool boleh membuat keputusan untuk menamatkan perjanjian pada Januari, hanya dua minggu selepas kedatangan pemain tengah tersebut.
Kembalinya Thiago Alcantara ke pangkuan pasukan secara tidak langsung menggambarkan peluang tipis buat pemain berusia 26 tahun itu. – AGENSI