PETALING JAYA: Bukan kekalahan Harimau Malaya yang menjadi perdebatan hangat ketika ini tetapi aksi ‘terkaman’ Mohamadou Sumareh menarik perhatian peminat bola sepak Malaysia.
Bernasib baik tidak dilayangkan kad kuning kedua yang seterusnya perlu meninggalkan padang, pemain naturalisasi negara itu yang dikenali ‘Keli Boy’ dilihat sudah berkarat untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Jurulatih berpengalaman, Mohd. Azraai Khor Abdullah menyifatkan tindakan Sumareh di hujung babak pertama itu memperlihatkan dirinya tidak mempunyai kualiti sebagai pemain kebangsaan.

“Sebagai pemain kebangasan yang diberikan taraf naturalisasi dia tidak seharusnya melakukan tindakan sedemikian rupa.
“Terjahan menggunakan dua kali begitu ketara, namun dia bertuah dengan apa yang dilakukan kerana tidak menerima layangan kad kuning kedua yang seterusnya menyebabkan Malaysia beraksi dengan kekurangan seorang pemain.
“Kalau pengadil lain saya rasa dia (bungkus) kena kad merah. Tindakan pantas dan bijak juga dibuat Kim Pan Gon dengan merehatkannya pada separuh masa kedua,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam final di Chiang Mai kelmarin, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang sudah pun menerima kad kuning pertama melakukan terjahan ke atas pemain Tajikistan namun pengadil perlawanan, Wiwat Jumpaoon hanya memberikan amaran lisan hingga menimbulkan rasa tidak puas hati lawan.

Kata Azraai, kekurangan minit perlawanan bukan alasan buat Sumareh gagal beraksi cemerlang.
“Dia perlu tahu statusnya (naturalisasi) kena cergas sepenuhnya, JDT bukan calang-calang kelab tapi macam mana dia persiapkan dirinya itu yang menjadi persoalan.
“Sekiranya kurang minit perlawanan, peluang diberikan jurulatih selaku kesebelasan utama Harimau Malaya ketika berdepan Tajikistan perlulah dibuktikan.
“Jika ada markah yang sesuai atas persembahannya saya berikan lima daripada 10,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan prestasi Harimau Malaya berada di landasan sebenar walaupun tidak pulang dengan kejuaraan Piala Raja Thai buat kali kelima.