LONDON: Lebih 2 bilion pound (RM10.36 bilion) dibelanjakan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaik sahaja jendela perpindahan pemain ditutup pada pukul 11 malam kelmarin.
Jumlah itu mengatasi rekod 2017, 1.45 bilion pound (RM7.51 bilion) biarpun ada kelab yang belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19.
Gergasi EPL Chelsea, Liverpool, Manchester United, Manchester City masih aktif berurus niaga sehingga hari terakhir.
Blues membawa masuk penyerang sensasi Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang pada harga 10 juta pound (RM51.78 juta) dan menawarkan bek kiri, Marcos Alonso kepada Barcelona sebagai pertukaran pada hari terakhir.
Pemilik baharu Chelsea, Todd Boehly paling ‘ghairah’ berbelanja dengan membelanjakan 258.5 juta pound (RM1.34 bilion) untuk tujuh pemain.
Newcastle yang mendapat sokongan kewangan daripada hartawan Arab Saudi membelanjakan 122 juta pound (RM631.69 juta), termasuk membayar 60 juta pound (RM311 juta) kepada Real Sociedad untuk penyerang, Alexander Isak.
Turut berbelanja sakan pemilik kelab yang baru dinaikkan ‘pangkat’ ke Liga Perdana, Nottingham Forest apabila 150.9 juta pound (RM781 juta) dikeluarkan oleh taikun media Greece, Evangelos Marinakis untuk membawa masuk 19 pemain.
Pendapatan keseluruhan yang dicatat kelab-kelab EPL jatuh dari 5.2 bilion pound (RM26.92 bilion) pada musim 2018-2019 kepada 4.5 bilion pound (RM23.30 bilion) pada 2019-2020 gara-gara Covid-19.
Begitupun, ia tidak menghalang mereka untuk berbelanja besar dalam usaha mengukuhkan pasukan masing-masing.
PEREBUTAN TIKET ELIT EROPAH
Terdesak untuk memburu tiket ke saingan elit Liga Juara-Juara Eropah antara sebab kelab England sanggup berbelanja sakan mendapatkan pemain bintang.
Menurut pensyarah kewangan bola sepak University of Liverpool, Kieran Maguire, kelab EPL memberi pengaruh besar terhadap pasaran perpindahan pemain.
“Beberapa pemilik baharu ghairah berbelanja besar dan mereka telah mempengaruhi pemilik kelab yang lain.
“Jika anda mahu mencabar kedudukan empat terbaik (slot automatik ke Liga Juara-Juara), anda memang tiada pilihan lain (kecuali berbelanja),” kata Maguire.
Sementara itu firma perakaunan gergasi dunia, Deloitte menganggarkan kelab EPL akan mencatat pendapatan mencecah 6 bilion pound (RM31.07 bilion), keluar dari era kejatuhan ketika krisis Covid-19.
Pengurus United, Erik ten Hag antara yang sakan berbelanja, dan membeli pemain sayap Ajax, Antony pada harga 85.5 juta pound (RM442.70 juta), dua hari sebelum tarikh tutup. – AGENSI