SEVILLE, Sepanyol: Erling Haaland semakin garang bersama Manchester City apabila meledak dua gol dalam penampilan pertama bersama skuad The Citizens pada aksi Liga Juara-Juara untuk membenam Sevilla 4-0 hari ini.
Ketajaman bintang penyerang Norway itu memastikan City memulakan kempen Kumpulan G di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan dengan penuh bergaya.
Haaland, 22, meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-20, dan meledak jaringan keduanya di minit ke-67.
Dua lagi jaringan City dihasilkan oleh Phil Foden dan Ruben Dias.
Haaland kini sudah meledak 12 gol dalam tujuh penampilannya bersama City, 10 lagi jaringan terhasil pada saingan Liga Perdana Inggeris.
Dia juga sudah meledak 25 kali dalam 20 aksi Liga Juara-Juara, termasuk ketika bersama Borussia Dortmund dan Red Bull Salzburg.
Only 31 players in Champions League history have scored more goals than Haaland. He has played in just 20 games 🤯#UCL pic.twitter.com/cMshb2kW60
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) September 6, 2022
“Kami tidak bermula baik pada babak pertama. Kami mahu menyerang terlalu cepat. Kadangkala kami mahu segera melakukannya kerana Erling ada di sana.
“Dia meledak dua gol dari tengah dan ada peluang untuk dua atau tiga gol lagi. Kami ada jumlah jaringan yang menakjubkan dan kami mahu terus begitu,” kata pengendali City, Pep Guardiola.
Dalam satu lagi saingan Kumpulan G, bekas kelab Haaland, Dortmund menundukkan FC Copenhagen 3-0.
City tidak pernah merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara dan kehadiran Haaland diharap mampu merubah nasib mereka di pentas Eropah. – AGENSI