LONDON: Graham Potter mengakui, masih ada perkara yang perlu diperbaiki oleh Chelsea selepas Red Bull Salzburg merosakkan perlawanan pertamanya sebagai pengurus Blues dengan jaringan penyamaan lewat permainan ketika seri 1-1 dalam Liga Juara-Juara pagi tadi.
Potter berada di landasan untuk meraih kemenangan dalam penampilan sulungnya sejak menggantikan Thomas Tuchel selepas Raheem Sterling meletakkan Chelsea di depan pada awal separuh masa kedua di Stamford Bridge.

Bagaimanapun bekas bos Brighton itu terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila Noah Okafor menghukum kealpaan pertahanan mereka dengan meloloskan diri untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75.
“Ia sentiasa menjengkelkan apabila anda melepaskan satu gol, terutama pada lewat permainan. Secara keseluruhan persembahan pertahanan cukup baik, ia hanya butiran kecil yang perlu kami perbaiki.
“Kami kecewa dengan keputusan itu. Kami menjaringkan gol yang baik tetapi terlepas mata penuh kerana sedikit kesilapan pada separuh masa kedua,” kata Potter.

Tuchel dipecat minggu lalu selepas kekalahan memalukan 1-0 Chelsea di Dinamo Zagreb dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara.
Hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan pertama mereka, Chelsea, juara Eropah dua kali kini menghuni tangga tercorot Kumpulan E dan akan berdepan AC Milan dalam perlawanan berikutnya. – AFP