NEW YORK: Pemain Australia, Nick Kyrgios yang mara ke pusingan ketiga tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam mencetus kekecohan apabila mengadu kepada pengadil mengenai bau asap ganja yang datang dari tempat duduk penonton.
Begitupun dia kemudian diberi amaran kerana meludah dan memaki di gelanggang.
Kyrgios menang dua set pertama menentang pemain Perancis, Benjamin Bonzi sebelum tewas set ketiga, namun berhasil menutup aksi dengan kemenangan 7-6 (7/3), 6-4, 4-6, 6-4.
Kyrgios entah bagaimana menemui alasan baharu untuk membuat aduan apabila memberitahu pengadil di set ketiga bahawa dia terganggu dengan asap ganja di udara, namun pengulas berkata mereka tidak pernah mendengar mengenai perkara itu sebelum ini.
“Itu ganja. Itu asap ganja. Takkanlah saya nak mengadu tentang makanan pula. Apabila atlet berlari seolah-olah mengelak sesuatu dan mereka ada asma, itu tidak baik,” katanya.
Dia kemudian didenda kerana melanggar kod etika selepas meludah selain diberi amaran.
“Ini sangat berbeza dengan cara kami hidup di Down Under (di Australia).
“Ia (New York) tempat yang gila, saya tak tahu bagaimana manusia boleh tinggal di sini,” katanya dalam temubual di gelanggang selepas menang.
Pengulas Channel 9, Todd Woodbridge berkata, sudah tiba masanya seorang jurulatih menamatkan kecenderungan Kyrgios untuk memusnahkan dirinya dengan menyalahkan orang lain apabila tidak bermain baik.
“Apa yang dilakukan oleh dia (Kyrgios) tiada kena mengena dengan cabaran di gelanggang,” katanya. – AGENSI