LONDON: Sekalipun Chelsea gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini, kedudukan pengurus baharu mereka, Graham Potter tidak akan terjas.
Itu jaminan yang diberikan pemilik Blues, Todd Boehly kerana Potter dilantik untuk projek jangka panjang selama lima tahun dengan kontrak bernilai 10 juta pound (RM52.18 juta) setahun.
Kenyataan Boehly itu amat mengejutkan penyokong Blues kerana berbanding era pemilikan Roman Abramovich, pengurus akan dipecat serta-merta jika pasukan bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.
Blues ketika ini menghuni tangga keenam liga selepas bermula agak kelam-kabut dengan mencatat dua kekalahan, satu seri serta tiga kemenangan daripada enam perlawanan.

Kelegaan buat Potter apabila perlawanan liga minggu ini ditunda susulan United Kingdom berkabung di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, yang mana Chelsea sepatutnya bertemu Fulham semalam.
Ujian pertama Potter bersama Blues adalah menentang RB Salzburg dalam Liga Juara-Juara, Rabu ini, pentas yang tidak pernah dirasai oleh bekas pengendali Brighton itu.
Saingan kelab elit Eropah juga adalah punca pengurus terdahulu, Thomas Tuchel dipecat selepas kalah mengejut 1-0 kepada kelab Croatia, Dinamo Zagreb dalam aksi pembukaan Kumpulan E, Rabu lalu.
Chelsea hanya dua kali pernah terkeluar daripada kelompok empat terbaik liga dalam tempoh 10 lalu iaitu pada 2016 dan 2018. Akibatnya, kedua-dua pengurus mereka ketika itu dipecat.
Jose Mourinho dipecat pada Disember 2015 ketika kelab berada dalam keadaan terumbang-ambing, manakala Antonio Conte disingkirkan tiga tahun kemudian.
Semalam, Potter, 46, menghabiskan seharian di pusat latihan kelab, Cobham untuk bertemu kakitangan pasukan serta pemain baharunya. – AGENSI