LONDON: Gareth Southgate mengakui, dia mungkin dipecat jika England mengharungi kempen yang teruk dalam Piala Dunia 2022, namun penyokong Three Lions mahu pengurus pasukan itu ditukar kepada Thomas Tuchel sebelum kejohanan bermula di Qatar pada 20 November ini.
Southgate dan pemainnya diejek penyokong sendiri ketika England tumpas 1-0 kepada Itali, Khamis lalu yang menyebabkan mereka terhumban ke Liga B dalam saingan Liga Negara-Negara musim depan selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan 3.
Biarpun memiliki kontrak sehingga tamat Kejohanan Eropah (Euro) 2024, namun Southgate bakal berdepan pemecatan awal jika England mempamer aksi ‘sukar diterima’ pada Piala Dunia.
“Sudah tentu saya akan dihakimi atas apa yang berlaku pada Piala Dunia nanti.
“Kontrak tidak lagi relevan. Sebagai pengurus, anda boleh mengikat kontrak empat atau lima tahun tetapi anda kena terima kalau keputusan tidak bagus, tugas anda akan berakhir awal.
“Apakah saya berbeza? Tidak. Saya tidak cukup angkuh untuk menganggap kontrak saya akan melindungi saya dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Southgate merupakan pengurus England paling berjaya sejak Sir Alf Ramsey dengan membawa pasukan itu ke mara separuh akhir Piala Dunia 2018, selain muncul naib juara Euro 2020, tahun lalu.
Begitupun prestasi yang dipamerkan England sepanjang kempen Piala Negara-Negara musim ini apabila mereka tidak memenangi semua lima perlawanan pertama Kumpulan 3 membuatkan penyokong sukar menerima.
Desakan agar Southgate dipecat semakin kuat kedengaran dan sesetengah peminat percaya, Tuchel yang dibuang dengan cara ‘kejam’ oleh Chelsea awal bulan ini orang paling tepat utuk membimbing England.
Gareth Southgate mengakui, dia mungkin dipecat jika England mengharungi kempen yang teruk dalam Piala Dunia 2022, namun penyokong Three Lions mahu pengurus pasukan itu ditukar kepada Thomas Tuchel sebelum kejohanan bermula di Qatar pada 20 November ini.

“Buang Southgate, masukkan Thomas Tuchel pada Piala Dunia. Mengapa tidak?” antara komen yang ditinggalkan penyokong Three Lions dalam media sosial.
“Ada beberapa calon lain di luar sana, namun Thomas Tuchel antara yang paling layak membimbing England dalam tempoh singkat,” kata seorang lagi penyokong di Twitter.
“Sukar untuk menyokong England apabila dibimbing oleh Gareth Southgate. Bawa masuk Thomas Tuchel,” kata peminat ketiga.
England akan memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang Iran pada 21 November. Mereka juga diletakkan bersama Amerika Syarikat dan Wales dalam Kumpulan B. – AGENSI