Alcaraz, Ruud rebut takhta No. 1 dunia

Alcaraz, Ruud rebut takhta No. 1 dunia

CARLOS Alcaraz (kiri) dan Casper Ruud akan berentap dalam final Terbuka AS esok untuk memburu kejuaraan Grand Slam pertama mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Dua pemain yang tidak pernah menjulang trofi Grand Slam, Carlos Alcaraz dan Casper Ruud akan berentap hari ini, bukan sahaja untuk merebut gelaran tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), malah merampas takhta No. 1 dunia.

Bintang remaja sensasi Sepanyol, Carlos Alcaraz menamatkan ‘perjalanan indah’ pemain tuan rumah, Frances Tiafoe dalam pertarungan epik 6-7 (6/8), 6-3, 6-1, 6-7 (5/7), 6-3 yang berlarutan selama empat jam, 19 minit pada separuh akhir semalam.

Jaguh Norway, Ruud yang melangkah ke final Grand Slam keduanya selepas Terbuka Perancis, Jun lalu menyingkirkan jaguh Russia, Karen Khachanov 7-6 (7/5), 6-2, 5-7, 6-2.

Alcaraz, 19, muncul pemain lelaki termuda melangkah ke final Grand Slam, mengikuti jejak rakan senegaranya, Rafael Nadal yang layak ke perlawanan akhir Terbuka Perancis 2005, juga pada usia 19 tahun.

Siapapun yang menang hari ini akan turut merampas gelaran No. 1 dunia daripada jaguh Russia, Daniil Medvedev yang kehilangan banyak mata gara-gara tidak dibenarkan beraksi dalam beberapa kejohanan, termasuk Wimbledon.

Alcaraz ketika kini menghuni ranking keempat dunia, manakala Ruud, 23, berada pada kedudukan ketujuh.

“Sebaik sahaja melangkah ke separuh akhir Grand Slam, saya memberikan segala-galanya yang termampu dan berjuang untuk setiap pukulan.

“Tidak kisahlah anda terpaksa bertarung selama lima atau enam jam, yang penting berikan semua yang termampu di atas gelanggang,” kata Alcaraz, yang muncul pemain termuda mara ke final Terbuka AS sejak Pete Sampras pada 1990.

Kata Alcaraz, biarpun takhta No. 1 dunia bakal menanti jika dia merangkul kejuaraan hari ini, namun dia tidak mahu berfikir terlalu jauh kerana ini hanya perlawanan akhir Grand Slam pertama dalam kariernya.

Sementara itu, Ruud yang tewas kepada Nadal dalam final Terbuka Perancis berkata, pengalaman di Roland Garros banyak mematangkan permainannya.

“Selepas kejayaan di Roland Garros, saya sangat gembira tetapi pada masa yang sama cukup merendah diri memikirkan itu mungkin satu-satunya final Grand Slam dalam karier saya.

“Ia tidak datang dengan mudah dan beberapa bulan kemudian apabila berjaya melayakkan diri sekali lagi (ke final Terbuka AS), sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ia keputusan yang gila,” kata Ruud. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN