IPOH: Teruja dengan persembahannya selepas dua bulan menyertai pasukan, Perak FC menyambung kontrak pertahanan tengah, Sunday Afolabi untuk tempoh dua tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, semangat dan telatah Afolabi adalah apa yang mereka perlukan untuk membina semula pasukan lama yang dirindui peminat.
“Sunday datang kepada kami sebagai bakat mentah tetapi beliau memiliki hati yang besar dan sentiasa mengidam untuk menang.
“Kami ingin memupuk sikap seperti ini, untuk membawa kelab kembali ke zaman kegemilangannya,” katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Pengumuman Perak FC itu pasti melonjak semangat pemain dari Nigeria itu apabila diturunkan menentang JDT FC II di Stadium Pasir Gudang l malam ini.
Menurut Bobie Farid, Afolabi adalah salah satu pemain defensif utama yang menyumbang kepada perjuangan Perak FC untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana musim ini .
Tindakan menyambung kontrak pemain itu hari ini selepas prestasi cemerlangnya di padang selama dua bulan lepas sejak menyertai Perak Jun lalu.
“Saya sangat teruja apabila menjadi sebahagian daripada kelab Perak FC dan sambutan yang mereka berikan kepada saya.
“Saya datang untuk meningkatkan prestasi kerjaya saya. Hubungan antara saya dan pasukan sangat mesra dan saya akan terus bersungguh di setiap perlawanan,” kata Afolabi.
Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Perak FC pada Jun 2022 selepas bermain di beberapa negara seperti Portugal, Slovakia dan Republik Czech.
Afolabi terus viral di laman sosial selepas telatah menarinya di padang, dirakam oleh peminat di Stadium UiTM di Selangor.
Matlamatnya ialah untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan membawa Perak FC kembali ke zaman kegemilangannya.
“Ini hanya permulaan. Kegemilangan akan kembali pada masa yang terdekat. Saya bukan sahaja di sini sebagai pemain, saya di sini untuk membuat perubahan dalam hidup saya dan menjadi senjata bagi jurulatih untuk ditempatkan di atas padang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, jurulatih, peminat dan pemain atas peluang ini, Saya amat menghargainya,” jelas Afolabi. – UTUSAN ONLINE