PETALING JAYA: Malaysia menunggu hari terakhir untuk mengatasi sasaran apabila Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen negara di Sukan Komanwel 2022 dalam acara badminton beregu wanita kelmarin.
Kemenangan Pearly-Thinaah bermakna, sasaran enam emas yang ditetapkan di Birmingham bukan sahaja berjaya diatasi, malah Malaysia turut menyamai pencapaian tujuh emas yang dilakukan di temasya Gold Coast, empat tahun lalu.
Dalam fasa peralihan endemik Covid-19, pencapaian tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa dianggap membanggakan buat Malaysia yang menghantar 104 atlet untuk bertarung sepanjang temasya 11 hari itu.
Begitupun, tidak semua sukan dianggap cemerlang dan berjaya. Malaysia berterima kasih kepada badminton, angkat berat dan gimrama yang masing-masing mengatasi sasaran dengan menyumbangkan dua pingat emas, manakala Bonnie Bunyau Gustin memenuhi misi meraih emas powerlifting.

Bagi Majlis Olimpik Malaysia (MOM0, boling padang, terjun dan olahraga antara sukan yang perlu diberi perhatian serius, malah menyarankan sistem latihan mereka dirombak semula gara-gara prestasi membimbangkan di Birmingham.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kebergantungan terhadap atlet sedia ada, yang kebanyakannya sudah berusia perlu diubah. Sukan-sukan itu perlu mengetengahkan lebih ramai muka baharu apabila temasya kembali di Victoria, Australia, empat tahun dari sekarang.

“Penerjun negara lain yang lebih muda membuktikan program latihan di negara seperti England, Australia dan Kanada telah berjaya melahirkan ramai atlet pelapis berwibawa berbanding Malaysia yang masih mengharapkan muka-muka lama.
“Kita juga harus akur prestasi sukan olahraga hanya berlegar di peringkat Sukan SEA dan ini perlu diubah untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi,” kata Mohamad Norza.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, pendekatan skuad boling padang yang berkampung sebulan di Birmingham menjelang temasya perlu dikaji semula kerana ia mungkin sudah tidak relevan dan perlu mencari formula baharu.
Terjun dan boling padang yang masing-masing disasarkan pingat emas bagaimanapun pulang bersama perak serta gangsa.
Jika terjun meraih dua perak dan satu gangsa, boling membawa pulang satu perak dan dua gangsa.