PEMAIN pertahanan negara, Syed Syafiq Syed Cholan sanggup melupakan penampilan pada hoki Piala Dunia 2023 selepas membantu Malaysia muncul naib juara Piala Asia, Mei lalu bagi mengejar impian menyambung pelajaran di peringkat sarjana.
Syafiq yang mula berjinak-jinak dengan sukan hoki sejak usia sembilan tahun kini merupakan penuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Pemain kelahiran Perak ini mengakui, ia keputusan yang berat, tatkala pasukan The Speedy Tigers bakal melalui satu kempen penting Piala Dunia tahun hadapan.
Begitupun, dia merasakan itu adalah langkah yang penting dalam hidupnya kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada pelajaran yang kerap tertangguh.
“Saya menjadikan ibu (Amnah Jalaludin) sebagai idola dalam meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Saya melihat depan mata dari kecil bagaimana ibu berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kuliah, dan dia berjaya menghabiskan pengajian ijazah, seterusnya menyambung ke peringkat sarjana pula selepas itu.
“Perkara tersebut mempengaruhi saya untuk teruskan pelajaran. Kebetulan saya menyambung pelajaran di institusi pengajian yang sama dengan ibu, iaitu di UPM.
“Cabaran bergelar pelajar amat berbeza dengan pemain hoki.
“Dalam hoki saya kena bangun awal pagi dan melalui intensiti latihan yang sangat tinggi, selain tekanan dalam kejohanan yang saya sertai.
“Begitupun untuk pelajaran, saya perlu menyiapkan tugasan dalam tempoh diberikan selain banyak kertas kajian perlu ditelaah. Ia kedengaran agak mudah tetapi tidak senang seperti yang disangka,” kata Syafiq kepada Mingguan Malaysia.

Katanya, ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya dia menganggap ia sebagai tempoh rehat panjang untuk dirinya dan bakal kembali menghayun kayu hoki selepas tamat pengajian.
“Sejujurnya, di kampus, saya bukanlah insan yang suka menonjol. Pensyarah dan rakan sekelas saya langsung tidak tahu mengetahui latar belakang saya mewakili Malaysia sehinggalah penghujung semester lalu.
“Kita sebagai atlet tidak ada pekerjaan tetap, jadi saya ambil inisiatif sambung belajar, dengan harapan jika karier saya sebagai atlet berakhir nanti, saya masih ada pilihan karier lain, seperti menjadi pensyarah.
“Tambahan pengajian yang saya ambil ini ada kaitan dengan pentadbiran, dan saya anggap ketika ini saya tengah membuka jalan untuk masa depan saya, dan siapa tahu kalau ada peluang untuk sambung ke peringkat lebih tinggi iaitu ijazah doktor falsafah (Phd).

“Bagi saya akademik sentiasa menjadi keutamaan, benar ada kerisauan anak muda ketika ini memilih untuk terus bekerja dan tidak mahu sambung kerana risaukan hutang pengajian selain peluang pekerjaan yang terhad dalam bidang dipelajari.
“Begitupun untuk jangka masa panjang ia bawa pulangan yang bagus kerana setidaknya jika mempunyai pelajaran, peluang meningkatkan diri itu akan ada,” kata Syafiq.
Biarpun tumpuannya kini 100 peratus terhadap pelajaran, namun Syed Syafiq mengakui, masih dihantui episod silam yang melanda hoki negara empat tahun lalu.
“Kenangan paling tidak dapat saya lupakan dalam hoki sangat pahit, iaitu Sukan Asia 2018. Kami berjaya menewaskan India di separuh akhir dan mara ke final.
“Ia perlawanan akhir saya yang pertama di pentas Sukan Asia tetapi malangnya kami kalah dan terlepas ke Sukan Olimpik Tokyo.
“Sampai ke hari ini, kalau kenduri kendara berjumpa saudara mara, pasti akan ada yang bertanyakan lagi mengenai perlawanan tersebut, jujur saya hanya mampu tersengih kerana tidak tahu nak berikan jawapan.
“Begitupun apa yang saya boleh katakan, apa sahaja yang saya dapat kini merupakan hasil kerja keras saya, bukanlah meminta ihsan sesiapa,” jelas Syafiq.













