fbpx

Skuad wusyu buktikan kehebatan di AUG 2022

ATLET negara, Tan Cheong Min, Loh Ying Ying dan Tammy Tan Hui Ling mempamerkan aksi terbaik mereka untuk mengutip emas dalam acara duilian wanita di AUG 2022.

UBON RATCHATHANI: Skuad wusyu negara dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara dalam acara itu di Sukan University ASEAN (AUG) selepas berjaya mengutip dua lagi emas pada hari terakhir temasya edisi ke-20 itu.

Secara keseluruhan kem wusyu mencatatkan prestasi yang cukup cemerlang apabila berjaya membolot lima emas dalam acara berkenaan.

Emas pertama hari ini hadir menerusi Ang Qi Yue dan Chuah Shangyang menerusi acara Duilian Berpasangan Lelaki selepas mereka mengutip 9.61 mata.

Perak dimenangi pasangan dari Indonesia, Horatius Harris Marvelo dan Edgar Xavier Siregar Serafnaro dengan 9.51 mata diikuti gangsa untuk wakil Thailand, Saeli Jo dan Yanrungrawin Pitaya (9.2 mata).

Trio Loh Ying Ting, Tammy Tan Hui Ling dan Tan Cheong Min pula menghadiahkan emas kedua buat negara menerusi acara Duilian Berpasangan Wanita dengan 9.23 mata.

PEMENANG pingat emas acara Duilian wanita, Tan Cheong Min, Loh Ying Ying dan Tammy Tan Hui Ling.

Mereka menewaskan wakil Indonesia, Eugenia Widodo, Diva Puspa dan Dewi Tasya Ayu yang menghimpun 9.16 mata sementara gangsa menjadi milik satu lagi trio negara, Lee Jia Tong, Sydney Chin Sy Xuan dan Mandy Cebelle Chen (9.12 mata).

 

Pengurus pasukan, Sharel Rizel Dzhari berkata, kejayaan membawa pulang lima emas, tujuh perak dan tujuh gangsa adalah antara pencapaian terbaik atlet Malaysia dalam sukan berkenaan.

“Kejayaan itu secara tidak langsung menyaksikan Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas empat hari acara wusyu berlangsung.

“Rata-rata atlet kali pertama beraksi di pentas AUG namun mereka mempunyai semangat cukup membara untuk membawa pulang pingat buat negara.

“Pada awalnya, kita melihat mungkin mendapat tentangan sengit daripada wakil tuan rumah dan Indonesia namun atlet negara berjaya mengekalkan momentum seterusnya kurang melakukan kesilapan untuk memperoleh mata tertinggi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!