Sang Badak pakar kebangkitan

Sang Badak pakar kebangkitan

SABAH bangkit daripada ketinggalan ketika menewaskan Melaka dalam saingan Liga Super kelmarin. - IHSAN SABAH FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan sekali atau dua, tetapi tiga kali kebangkitan dipamerkan Sabah FC meletakkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee umpama ‘cencaru makan petang’.

Bermula kebangkitan ketika menewaskan Terengganu 2-1 pada 19 Julai di laman sendiri, Sang Badak terus melakarkan skrip sama membenam Petaling Jaya City  (PJ City) 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 26 Julai lalu.

Skrip sama berulang apabila Mohd. Amri Yahyah meledak dua gol membantu kemenangan ke atas Melaka United  2-1 di Stadium Likas Kota Kinabalu, malam semalam.

Ternyata kekalahan 0-2 kepada Selangor pada suku akhir Piala FA, 23 Julai tidak melemahkan semangat barisan pemain Sang Badak.

Kim Swee berkata, pasukannya enggan mengalah walaupun ketinggalan dengan jaringan kepada Melaka United.

Tambahnya, sikap positif itu membolehkan Sabah bangkit menyamakan kedudukan dan seterusnya mendapatkan gol kemenangan 2-1 ke atas Melaka pada minit akhir perlawanan.

“Kesungguhan ditonjolkan pemain apabila pasukan sudah ketinggalan memberi kelebihan kepada Sabah hingga berjaya mengekalkan kemenangan dalam Liga Super untuk kali ketiga berturut-turut.

“Tiada strategi yang agak susah dilakukan pemain tapi bagi saya pemain menunjukkan kesungguhan sekali lagi apabila kita ketinggalan dan ini adalah kali ketiga kita kembali (menang).

“Namun kita harus memperkemaskan lagi terutama tidak ketinggalan tetapi sikap positif, sikap tidak mengalah pemain harus diberi pujian.

“Sama ada yang bermain dari mula atau sesiapa yang menggantikan terutama Amri Yahyah, Irfan Fazail, Farhan Roslan dan Hanafie Tokyo, mereka memberi persembahan cukup baik,” katanya.

Pemangku Ketua Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal, menyalahkan kegagalan anak buahnya untuk mencipta kemenangan walaupun sudah mendahului perlawanan pada separuh masa pertama.

“Kita bermula dengan baik, lepas itu kita ada peluang menjaringkan gol tetapi kita tidak mengambil peluang itu. Pada 20 minit terakhir, pemain Melaka nampak penat.

“Kita juga ada peluang daripada Sony Norde dan Emmanuel Oti tapi kita tidak dapat menjaringkan gol, itulah bola sepak.

“Sekali kita diserang balas dan mereka (Sabah) serang, membolehkan Amri menggunakan peluang yang ada menjaringkan dua gol.

“Kita perlu menyalahkan diri kita sendiri di atas kekalahan malam ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya