PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung dakwaan kes cabul membabitkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah di Johor yang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, individu terbabit sudah ditahan pihak berkuasa manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil langkah melindungi kanak-kanak berkenaan.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) turut meneruskan siasatan dalaman berhubung kes tersebut.
“PDRM telah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa. JKM telah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menyeru masyarakat supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dakwaan kesalahan seksual.
Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menyiasat sebarang aduan khususnya apabila melibatkan mangsa kanak-kanak.
“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor memaklumkan beberapa laporan polis dibuat berhubung dakwaan itu termasuk daripada pihak sekolah, sebelum guru terbabit direman bagi membantu siasatan.
JPN Johor turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Menurut JPN Johor, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sepanjang proses siasatan dijalankan.
Pada masa sama, JPN Johor berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan JKM bagi memastikan murid yang menjadi mangsa dilindungi dan kesejahteraannya terpelihara. – UTUSAN







