PETALING JAYA: Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor muncul pelumba terpantas kategori CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus hari ini.
Lebih manis, ia adalah kemenangan keduanya di litar berkenaan musim ini selepas tmemenangi Pusingan 4, Jun lalu.
Kasma yang juga juara keseluruhan 2017 melengkapkan perlumbaan 20 pusingan itu dengan masa terpantas 16 minit 12.434 saat (s), sekali gus mendahului saingan dengan kelebihan 0.407s daripada pelumba tuan rumah, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing).
Afif yang bermula dari grid pertama menamatkan perlumbaan dengan catatan 16:12.841s, manakala rakan sepasukan Kasma, Md. Haziq Md Fairues melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, 16:17.795s.
“Ia adalah rezeki untuk menang di bandar tunang saya. Pasukan saya agak cemerlang di Litar Terengganu. Bagi perlumbaan tadi, saya hanya mengawal kelajuan saya dan mengurangkan kesilapan.
“Ramai di antara pelumba-pelumba yang melakukan kesilapan dan saya hanya mengambil peluang tersebut untuk mara ke depan. Bagi saya, jentera saya tidaklah lebih pantas daripada yang lain tetapi saya hanya fokus dan kekalkan momentum saya,” kata Kasma.
Selepas tujuh pusingan musim, Kasma kini sudah mengumpul 63 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan manakala Afif sedang mendahului carta pelumba kelas perdana berkenaan dengan 122 mata. – UTUSAN ONLINE