ALOR SETAR: Kerajaan perlu mengubah pendekatan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada sekadar memastikan kelangsungan perniagaan kepada usaha lebih agresif untuk meningkatkan pertumbuhan, produktiviti dan daya saing syarikat tempatan di peringkat global.
Pengerusi SG4 Group Sdn. Bhd., Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Malaysia tidak kekurangan PMKS, sebaliknya cabaran sebenar adalah memastikan lebih banyak perusahaan berkembang daripada kategori mikro kepada kecil, sederhana dan seterusnya menjadi syarikat yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Katanya, struktur PMKS negara ketika ini menunjukkan lebih 70 peratus daripada perusahaan berada dalam kategori mikro, manakala hanya 1.6 peratus merupakan perusahaan sederhana.
“Sebanyak 96.1 peratus atau 1.09 juta pertubuhan perniagaan di Malaysia terdiri daripada PMKS, namun hanya 1.6 peratus daripadanya mencapai kategori perusahaan sederhana.
“Jadi cabaran kita bukan untuk melahirkan lebih banyak perniagaan semata-mata, tetapi membantu lebih banyak perniagaan berkembang ke tahap yang lebih tinggi,” katanya selepas SG4 Round Table Discussion on Malaysian SMEs, baru-baru ini.
Menurutnya, PMKS memainkan peranan besar dalam ekonomi negara apabila sektor itu menyumbang RM689.8 bilion atau 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
Selain itu, kata Haim Hilman, sektor itu menyediakan pekerjaan kepada 8.09 juta orang atau 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara, manakala eksport PMKS bernilai RM214.5 bilion atau 14.7 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
Beliau berkata, kejayaan dasar pembangunan PMKS tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah program, pembiayaan atau perusahaan yang menerima bantuan, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan hasil, produktiviti, gaji, eksport serta bilangan syarikat yang berjaya berkembang.
Dalam pada itu, SG4 menyambut baik usaha kerajaan menarik pelaburan asing berkualiti, namun manfaat pelaburan berkenaan perlu turut dirasai perusahaan tempatan.
Katanya, pelaburan besar perlu membuka lebih banyak peluang kepada vendor Malaysia, meningkatkan perolehan tempatan, mempercepat pemindahan teknologi dan membantu syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan syarikat multinasional.
“Dengan pendekatan ini, kejayaan menarik pelaburan asing akan turut menjadi kejayaan membangunkan kapasiti domestik,” katanya.
SG4 turut mencadangkan pembangunan PMKS diperkukuh menerusi Kerangka 4C iaitu Capacity, Capital, Connection dan Catalyst yang memberi penekanan kepada keupayaan teknologi dan pengurusan, akses modal, pasaran serta ekosistem sokongan.
“Hasil perbincangan itu akan menjadi antara asas penyediaan Kertas Putih SG4 bertajuk Beyond Growth, Redefining SME Success in a Borderless Yet Bounded World bagi mengemukakan cadangan pembangunan PMKS yang lebih berorientasikan pertumbuhan, produktiviti dan daya saing,” katanya. – UTUSAN










