MANCHESTER: Selepas memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan langkah sumbang, Manchester United menerima satu lagi perkhabaran membimbangkan menjelang kunjungan ke Brentford esok apabila penyerang mereka, Marcus Rashford dipancing oleh kelab kaya Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
United yang sudahpun berdepan masalah di bahagian serangan bakal menerima tamparan hebat jika Rashford menyertai PSG, yang menjanjikan tiket untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara, selain mampu menawarkan gaji lebih lumayan.
Menurut akhbar Britain dan Perancis, PSG sudah menghubungi pemain berusia 24 tahun itu untuk menawarkannya peluang bergandingan dengan Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe musim ini.
Akhbar sukan Perancis, L’Equipe mendakwa rundingan telah dimulakan dengan wakil Rashford biarpun PSG tidak menghubungi United.

Pemain antarabangsa England itu boleh mengisi kekosongan Arnaud Kalimuendo yang meninggalkan PSG untuk ke Rennes, manakala Mauro Icardi juga dijangka keluar dari Paris pada hujung bulan depan.
Menurut akhbar tersebut, rundingan berjalan ‘positif’ antara wakil Rashford dan PSG, namun ia masih di peringkat awal.
“Kami mahu seorang lagi penyerang. Dengan jadual padat, kami mahukan ketibaan pemain baharu secepat mungkin.
“Kelab sedang bekerja (mendapatkan pemain), saya berhubung terus dengan (penasihat bola sepak) Luis Campos. Luis berhubung pula dengan presiden kami (Nasser Al-Khelaifi).
“Kami tidak boleh membuat sebarang kesilapan. Adakah pemain ini akan tiba? Kami tidak tahu, namun dia pasti akan memberi kelebihan buat pasukan,” kata pengurus PSG, Christophe Galtier.

Minggu lalu, United memulakan kempen Liga Perdana dengan kekalahan 1-2 kepada Brighton di Old Trafford.
Pengendali baharu Red Devils, Erik Ten Hag tidak meletakkan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama, sebaliknya Rashford digandingan bersama pendatang baharu, Christian Eriksen dan Jadon Sancho.
Satu lagi kekalahan pasti sukar diterima, malah Brentford bukan lawan mudah kerana mereka telah mengumpul 22 mata sejak Mac lalu dan berjaya mengikat Leicester City 2-2 pada aksi pembukaan musim baharu. – AGENSI