JOHOR BAHRU: Pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC malam ini umpama bayangan aksi final Piala FA 2022.
Tonggak pertahanan JDT, Shane Lowry percaya, perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu akan menjanjikan aksi sengit dan Harimau Selatan berdepan tugas sukar untuk mengutip tiga mata.
Katanya, skuad Sang Penyu yang dibarisi pemain berbakat dilihat mampu menjejaskan rental kemenangan pasukan JDT bagi misi mengukuhkan kedudukan di persada liga.
Bagaimanapun, bekas pemain Al Ahli FC yang mengemudi benteng pertahanan JDT itu bertekad untuk menutup ruang bagi pasukan lawan daripada mencipta peluang dan melancarkan serangan untuk merobek gawang.

“Kami perlu bersedia menghadapi ancaman pemain import mereka, Tcheche (Kipre) dan Petrus (Shitembi) walaupun tidak pasti mereka akan diturunkan setelah mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini.
“Kami juga harus berwaspada dengan kelicikan pemain sayap TFC, Faisal Halim dan Faiz Nasir yang lincah membuat larian mengelirukan selain bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti. Kami tidak boleh leka selain sentiasa berwaspada daripada lakukan kesilapan,” katanya.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain turut memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri selain strategi menyerang dan mengasak benteng pertahanan lawan secara bertubi-tubi.

Begitupun dia yakin pengendali JDT, Hector Bidoglio mempunyai muslihat dan rahsia tersendiri untuk mendepani pasukan lawan berkenaan.
Lowry juga optimis kesebelasan utama yang akan diturunkan mampu menterjemahkan strategi ampuh ketua jurulatih itu dalam usaha mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 13 perlawanan setakat ini.
“Saya percaya ketua jurulatih (Bidoglio) tahu akan kemampuan pasukan lawan dan apa pendekatan yang perlu diambil. Momentum kemenangan yang diraih sebelum ini turut menjadi kekuatan bagi pemain untuk terus melakar kejayaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE