Penyokong Tok Gajah sedia penuh Stadium Darul Makmur

Penyokong Tok Gajah sedia penuh Stadium Darul Makmur

PENYOKONG Tok Gajah sedia memenuhkan semula Stadium Darul Makmur, Kuantan jika Tok Gajah tidak lagi mempamerkan aksi yo yo. – IHSAN SRI PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penyokong Tok Gajah sedia kembali membanjiri Stadium Darul Makmur jika Sri Pahang berjaya mempamer prestasi konsisten, bermula dengan pertemuan menentang Kedah dalam aksi Liga Super malam ini.

Rata-rata penyokong yang ditemui Utusan Malaysia me­nyatakan kesedian memeriahkan stadium keramat mereka jika Tok Gajah tidak lagi mempamerkan aksi longlai seperti mana sebelum ini dan mengekalkan prestasi baik seperti ketika menewaskan Se­langor 2-0, Rabu lalu.

Penyokong yang berasal dari Kuantan, Rasedi Wahab, 45, berharap Sri Pahang mempamer aksi yang lebih mantap selepas me­numbangkan Red Giants.

Menurutnya, walaupun masih setia menyokong Tok Gajah tetapi perasaan kecewa tetap ada selepas gagal ke separuh akhir Piala FA tewas memalukan 2-5 kepada Penang FC.

“Gandingan Dollah Salleh dan Fandi Ahmad sudah nampak membawa perubahan baik kepada pasukan, diharap prestasi itu dapat ditingkatkan dan tidak beraksi seperti ‘yo yo’ lagi,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penyokong, Abdul Majid Sairi, 64, juga semakin yakin dengan perubahan yang dibawa Dollah dan Fandi walaupun masih terlalu awal untuk menilai prestasi dua lagenda bola sepak Pahang tersebut.

“Jika Sri Pahang sekurang-kuranganya dapat beraksi se­perti kita kalahkan Selangor, tidak mustahil untuk kita menang lagi malam esok (hari ini),” katanya yang sehingga kini masih setia turun ke mana sahaja lokasi perlawanan membabitkan skuad Sri Pahang.

Cuma perlu diingat, anak buah Aidil Sharin Sahak juga pasti mahukan kemenangan dan menjadikan Sri Pahang medan me­nebus kekalahan 1-2 ketika skuad itu tewas kepada Kuala Lumpur City minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN