PETALING JAYA: Selepas dua pemain Kelantan FC dikecam kerana didakwa melambat-lambatkan permainan ketika menumpaskan PDRM FC 2-1 kelmarin, pemilik kelab, Norizam Tukiman tampil mempertahankan Felipe Hereda dan Nurshamil Abd. Ghani.
Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, kedua-dua pemain terbaring pada minit ke-85 ketika The Red Warriors (TRW) sedang mendahului 2-1.
Video tersebut tular di media sosial sehingga ramai menyifatkan ia taktik melengahkan masa.
“Tinggal lima minit sebelum perlawanan tamat saya nampak Felipe dan Syamil terbaring. Tidak lama selepas dirawat, mereka meneruskan permainan hingga tamat. Tiada leceh-leceh (main-main), tiada melengah-lengahkan permainan.
“Saya dapat maklumat, sebelum perlawanan Felipe Hereda mengambil ubat penahan sakit dan Syamil sebenarnya masih cedera sejak aksi menentang JDT II (Johor Darul Ta’zim II, 22 Julai).
“Saya kagum dengan mereka sebab bermain bersungguh-sungguh untuk Kelantan FC. Walaupun cedera tapi mereka hendak bermain juga,” katanya.
Kata Norizam atau mesra disapa Zamsaham, selepas mengharungi 15 perlawanan liga belum ada pemain Kelantan FC yang suka berguling-guling atau sengaja melengah-lengahkan perlawanan.
“Kalau ada, insya-Allah saya orang pertama yang akan tanya kenapa baring-baring. Kita doakan semoga semua pemain segera sembuh dan cergas untuk perlawanan berikutnya,” katanya.
Kemenangan ke atas The Cops meletakkan Kelantan FC di landasan terbaik untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas menerajui saingan dengan 35 mata, lima mata mengatasi pencabar rapat, JDT II.
Kelantan FC kini akan berdepan Terengganu FC II dalam aksi seterusnya di Kota Bharu, Ahad ini.