PETALING JAYA: Berdepan pasukan yang turut bergelut dalam Liga Super ketika ini, Petaling Jaya City (PJ City) malam ini adalah peluang terbaik buat Selangor bangkit daripada empat kekalahan berturut-turut (semua kejohanan).
Selepas kecewa pada penampilan pertama membimbing Red Giants, Mohd. Nidzam Jamil yang menggalas tugas ketua jurulatih sementara harus memanfaatkan pertemuan dengan PJ City untuk memperbaiki kedudukan pasukannya.
Bagi Nidzam, kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC, Rabu lalu memberi isyarat mereka perlu segera bangkit.
“Kami seharusnya panik dalam keadaan begini (kekalahan) dan perlu lebih baik untuk bangkit selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Ketua jurulatih PJ City, P. Somasundram berkata, pasukan itu sudah melakukan ulang kaji sebelum menentang Selangor.
“Kita akan melihat kekuatan dan kelemahan Selangor, bersedia dengan ulang kaji dan perancangan berdepan lawan nanti,” ujarnya.
Prestasi semasa Selangor dan PJ City dalam saingan Liga Super ketika ini mengecewakan dengan mereka hanya dibezakan tiga mata.
Selangor seharusnya menggunakan peluang yang ada dengan kemenangan untuk memastikan mereka melonjak sekurang-kurangnya tangga ketujuh.
Merah Kuning kini berada di tangga kesembilan dengan 16 mata hasil empat kemenangan, empat seri dan enam kekalahan manakala PJ City hanya menang dua perlawanan, tujuh seri dan kalah dengan 13 mata.