PETALING JAYA: Kurangnya sambutan yang diterima terjun di peringkat Sukan Malaysia (Sukma), selain kebergantungan kepada penerjun senior di pentas antarabangsa memaksa Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bertindak agresif dengan menjejaki bekas-bekas penerjun untuk ‘memujuk mereka beraksi.
Majlis Sukan Negara (MSN) juga merancang untuk membina pusat-pusat latihan di negeri yang dikenal pasti mampu menjadi tempat untuk mencungkil bakat baharu.

Menurut Setiausaha Agung MAS, Mae Chan, masalah terbesar yang dialami terjun ketika ini adalah kekurangan kumpulan penerjun muda yang mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa kerana kurangnya program pembangunan negeri.
Perancangan itu timbul setelah melihat prestasi terjun yang hambar di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu apabila gagal membawa pulang pingat, manakala di temasya Komanwel Birmingham baru-baru ini mereka tidak dapat memenuhi sasaran emas.

“Kami sedang berusaha menjejaki semula penerjun-penerjun yang pernah terbabit dalam program pembangunan di beberapa negeri untuk cuba memujuk mereka kembali aktif.
“Sasaran had umur yang dicari sekitar 15 tahun dan ke bawah. Kita akan cuba hubungi mereka menerusi persatuan-persatuan negeri, kalau mereka masih berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Mae Chan, MSN juga bercadang membina pusat latihan terjun di negeri-negeri setelah melihat perkembangan semasa sukan itu yang agak menyedihkan apabila acara wanita tidak dipertandingkan dalam Sukma ekoran tidak menerima sekurang-kurangnya enam penyertaan.
“Datuk Ahmad Shapawi (Ismail, Ketua Pengarah MSN) ada memaklumkan mengenai kerjasama itu dalam mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja) untuk membina pusat latihan di negeri. Di peringkat kebangsaan, MAS akan lakukan lebih banyak program memanggil penerjun dari setiap negeri datang bertanding,” katanya.

Kata Mae Chan, program tersebut bermatlamat mencari bakat baharu yang berpotensi menyertai skuad kebangsaan meskipun mungkin mengambil masa beberapa tahun.
“Bergantung pada tahap apa kita mahu mulakan. Sama ada kita mahu memanggil semula penerjun lama yang telah meninggalkan sukan ini atau kita mahu meneroka bakat baharu.
“Jika kita mahu mendapatkan penerjun yang bermula dari asas, kita memerlukan masa mungkin lima tahun untuk melihat hasil terjunan yang baik,” katanya.
Ujar Mae Chan, pihaknya perlu menilai banyak perkara dalam menghasilkan penerjun kebangsaan baharu seperti faktor fleksibiliti, gerakan badan, ketakutan dan keberanian atlet tersebut berdasarkan ketinggian.