KEIZAC 2025 mercuinovasi ummah

KEIZAC 2025 mercu inovasi ummah

PERSIDANGAN Zakat Antarabangsa Kedah 2025 (KEIZAC 2025) membuktikan Kedah berani menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan prinsip Maqasid Syariah, yang akhirnya menghasilkan model zakat moden yang memberi impak kepada dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI sekali lagi menjadi saksi sejarah besar apabila Kedah berjaya menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa yang mengangkat martabat zakat ke peringkat dunia.

Persidangan Zakat Antarabangsa Kedah 2025 (KEIZAC 2025), hadir dengan tema ‘Inovasi Dipacu AI dalam Ekonomi Sosial Islam: Memperkasa Ummah yang Lebih Sejahtera’. Tema ini menekankan kepentingan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin pengurusan zakat dan ekonomi sosial Islam.

Selama ini, zakat, wakaf, sedekah dan infak menjadi instrumen utama kesejahteraan masyarakat, namun pendekatannya masih tradisional. Dengan AI, proses kutipan, analisis data, agihan dan pemantauan impak dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, telus serta efisien.

Malah, teknologi ini berpotensi memahami pola kemiskinan, menjejak jurang sosial dan merangka strategi kebajikan yang lebih tepat buat asnaf.

Dalam titah diraja, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, menegaskan sistem zakat Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Uganda dan Nigeria misalnya, menggunakan sistem percuma yang dibangunkan Kedah, manakala Uzbekistan turut memohon kerjasama membangunkan sistem zakat mereka.

Hal ini membuktikan Kedah bersinar sebagai pusat rujukan dunia Islam dalam pengurusan zakat berasaskan teknologi.

Kejayaan ini lahir daripada kesinambungan edisi terdahulu, termasuk KEIZAC 2023 yang menarik hampir 1,000 peserta dari 22 negara. KEIZAC 2025 tampil lebih berimpak, menghimpunkan sarjana, teknokrat, pengamal industri, pakar syariah dan pemimpin politik untuk membincangkan masa hadapan ekonomi sosial Islam.

Bukan sekadar wacana, Kedah turut menampilkan inovasi nyata melalui sistem zakat yang sudah digunakan di peringkat antarabangsa.

Ucapan dan forum sejak hari pertama memperlihatkan wacana sarat isi, antaranya bagaimana wakaf boleh dihubungkan dengan teknologi digital, peranan universiti sebagai pemangkin transformasi digital, serta integrasi AI dalam menyokong dasar berasaskan Maqasid Syariah.

Tokoh besar seperti Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menekankan peranan data rasmi dalam dasar zakat, manakala Pakar kewangan, Prof. Datuk Dr. Aznan Hasan membicarakan tentang AI dalam membentuk ekonomi sosial Islam global. Tidak ketinggalan bekas Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam., Mohd. Nazri Chik mengetengahkan sinergi zakat dan wakaf dalam membasmi kemiskinan melalui Projek Hassan.

KEIZAC 2025 juga menyerlahkan peranan wanita. Tokoh pendidik dan pentadbir, Datuk Seri Prof. Dr. Noor Inayah Ya’akub tampil dengan strategi kepimpinan zakat dan wakaf di era moden.

Panel Voices of Leadership membuktikan masa hadapan ekonomi Islam menuntut kepimpinan seimbang lelaki dan wanita berasaskan Rahmah dan Maqasid Syariah.

Hari terakhir bertambah bermakna dengan pembentangan tokoh antarabangsa seperti Sheikh Mahmood S. Kibaate (Uganda) dan Prof. Dr. KH. Noor Achmad (BAZNAS Indonesia). KEIZAC jelas berada dalam radar dunia Islam sebagai persidangan utama dan upacara penutup oleh Sultan Kedah menambah seri sebagai simbol kejayaan negeri dan negara.

Di sebalik kejayaan, satu perkara wajar diberi perhatian ialah penggunaan bahasa persidangan. Walaupun berlangsung di Malaysia, bahasa Inggeris masih mendominasi. Dengan teknologi penterjemahan serentak, tiada halangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ini peluang besar untuk memartabatkannya sebagai bahasa ilmu dan diplomasi antarabangsa.

Kejayaan KEIZAC 2025 memberi inspirasi agar Kedah atau negeri lain tampil menganjurkan Konferens Kepimpinan Wanita Global. Dunia Islam memerlukan lebih ramai pemimpin wanita bukan sahaja dalam ekonomi sosial tetapi juga pendidikan, politik dan pembangunan masyarakat.

Sejarah Islam membuktikan peranan besar tokoh wanita seperti Sayyidatina Aisyah RA sebagai sumber ilmu dan fiqh. Maka, tradisi ini wajar diteruskan dengan memberi ruang kepada kepimpinan wanita di peringkat global.-UTUSAN

ATRIZA UMAR
Calon Ijazah Kedoktoran Dalam Bidang
Kepimpinan Wanita

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×