LIVERPOOL: Liverpool yang mencari kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris musim ini berdepan satu lagi isu kecederaan selepas Joel Matip diketepikan pada sesi latihan menjelang pertemuan menentang Crystal Palace di Anfield esok.
Matip membentuk benteng ampuh bersama Virgil van Dijk musim lalu, malah memainkan peranan besar yang membawa Reds muncul naib juara Liga Perdana, selain mara dalam tiga final perebutan trofi.
Pemain antarabangsa Cameroon itu mengalami kecederaan pangkal paha, sekali gus menyertai senarai beberapa tonggak yang sudahpun disisihkan lebih awal.
Ibrahima Konate, Thiago Alcantara, Curtis Jones, Diogo Jota, Kostas Tsimikas, Alex Oxlade-Chamberlain, Calvin Ramsey serta Caoimhon Kelleher antara pemain yang sudah disisihkan.

Isu kecederaan tiba pada masa yang sukar buat Liverpool yang memulakan kempen musim baharu dengan diikat 2-2 oleh Fulham minggu lalu.
Kecederaan Matip bagaimanapun boleh menjadi berita baik buat Joe Gomez yang terdesak untuk kembali dalam kesebelasan utama selepas mengalami dua tahun yang sukar.

“Kami kini berdepan isu kecederaan, ya..begitulah keadaan yang sering dihadapi.
“Persoalannya sekarang, berapa lama pemain-pemain ini dapat kembali beraksi?
“Memang mudah untuk bawa masuk pemain baharu dari jendela perpindahan tetapi itu tidak akan membantu,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. –AGENSI