LIVERPOOL: Biarpun Liga Perdana Inggeris baru sahaja membuka tirai minggu lalu, Liverpool terpaksa melupakan perancang utamanya, Thiago Alcantara selama enam minggu kerana kecederaan hamstring.
Pemain antarbangsa Sepanyol itu terpaksa dikeluarkan pada babak kedua ketika Reds seri 2-2 dengan Fulham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Laporan awal perubatan mengesahkan Thiago mengalami kecederaan yang memaksanya berehat sekurang-sekurangnya sehingga pertengahan bulan depan.
Itu bermakna, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak dapat menggunakan khidmat pemain pemain berusia 31 tahun tersebut untuk sekurang-kurangnya enam perlawanan, termasuk menentang Manchester United dan Newcastle United.

Ia situasi yang merungsingkan buat Klopp tatkala dia sudah pun kehilangan Alex Oxlade-Chamberlain, Curtis Jones dan Naby Keita di bahagian tengah.
Bagaimanapun Klopp yang ditemui selepas perlawanan menentang Fulham enggan terburu-buru mencari pemain baharu bagi mengisi kekosongan di bahagian itu.
“Sebarang pembelian mestilah berbaloi untuk jangka masa panjang.
“Kami mempunyai lapan pemain tengah dan ia mencukupi, bukannya kami tidak mempunyai pemain, cuma mereka kini cedera.
“Ini memang bukan situasi yang bagus, dan saya memang tidak menggemarinya. Kami perlu tenang dalam membuat sebarang keputusan dan pastinya kami tidak perlu panik,” jelas Klopp – AGENSI