KOTA BHARU: Kelantan FC bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan PDRM FC 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu bukan sahaja membantu mereka bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Perak FC, Rabu lalu, malah membolehkan The Red Warriors (TRW) mengukuhkan kedudukan pendahulu liga.
Sebaik sahaja wisel ditiup oleh oleh pengadil, Abdul Halim Mohd. Ramlan tuan rumah bertindak garang dengan melancarkan serangan awal ke kubu lawan untuk mencari gol pembukaan.
Pelawat yang tidak senang duduk bangkit untuk mengimbangi perlawanan dengan melancarkan serangan balas sehingga berjaya menimbulkan ‘kegentaran’ di benteng pertahanan Kelantan FC.
Usaha pelawat itu membuahkan hasil apabila memperoleh jaringan pembukaan PDRM FC pada minit ke-30 selepas penjaga gawang Kelantan FC, Nik Mohd. Amin Ahmad gagal menyelamatkan sepakan percuma yang diambil Durrkeswaran Ganasan.

TRW cuba bangkit selepas itu untuk menyamakan kedudukan, namun mereka bagaikan hilang punca selepas gerakan yang dilancarkan berjaya dipatahkan oleh pihak lawan menyaksikan keputusan kekal 0-1 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, tuan rumah akhirnya memperoleh jaringan pertama mereka menerusi Nurshamil Abd. Ghani yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-68 walaupun terpaksa mengambil sepakan kali kedua selepas sepakan pertama dibatalkan oleh Abdul Halim.
Mohamad Ikhwan Yazek menggembirakan kira-kira 4,128 penyokong TRW melalui rembatan lencong dari jarak 25 meter yang menewaskan penjaga gol PDRM FC, Muhammad Firdaus Irman Mohd. Fadhil pada minit ke-77 untuk gol kedua Kelantan FC.
Ketinggalan di belakang, pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail terus menggempur kubu tuan rumah tetapi Kelantan kental bertahan untuk memuktamadkan kemenangan 2-1 di laman sendiri. – UTUSAN ONLINE