KOTA BHARU: Pengendali Selangor II, Rusdi Suparman mengakui ‘pahit’ untuk menelan kekalahan 4-0 kepada Kelantan United pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin.
Rusdi berkata, walaupun barisan mudanya terpaksa bergelut untuk berdepan pemain-pemain senior serta import pada perlawanan itu, namun mereka telah memberikan aksi terbaik sepanjang tempoh 90 minit permainan.
Menurutnya, usaha ‘ubi muda’ Selangor itu belum cukup untuk mengatasi Kelantan United yang berjaya memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan menggunakan khidmat pemain import pada tahap maksimum.

“Apa yang membezakan antara Selangor II dan Kelantan United adalah kekuatan import.
“Bagi saya seandainya kedua-dua pasukan hanya menggunakan khdimat pemain tempatan, kita mungkin boleh mengimbangi mereka.
“Apa pun pemain-pemain saya perlu lebih banyak belajar untuk beraksi pada peringkat lebih tinggi,” katanya.
Rusdi menyifatkan apa yang dilaksanakan oleh Selangor FC pada ketika ini adalah menyediakan pemain-pemain untuk skuad kebangsaan bagi menyertai saingan Piala AFC Bawah 19 tahun di Mongolia.

Katanya, majoriti pemain mereka terlibat dengan skuad bawah 19 tahun kebangsaan dan mereka telah mendapat pendedahan yang baik dalam saingan Liga Perdana.
Beliau memberitahu, majoriti pemainnya terlibat dengan skuad bawah 19 tahun kebangsaan dan mereka telah mendapat pendedahan yang baik dalam saingan Liga Perdana.
“Jadi keputusannya akan berpihak kepada jurulatih nasional. Andai skuad bawh 19 tahun kebangsaan menang nanti janganlah lupa kepada Selangor FC II yang banyak menyediakan pemain untuk mereka.
“Ketiadaan pemain import dalam senarai pemain Selangor FC II adalah kerana mereka semua telah diserapkan ke pasukan utama untuk menyaingi kekuatan pasukan-pasukan teratas dalam saingan Liga Super,” katanya.
Rusdi berkata, peluang untuk Selangor FC II keluar daripada zon berbahaya juga dilihat sukar terutama Young Giants akan berdepan tiga pasukan terkuat dalam saingan Liga Perdana selepas ini.
“Selepas ini kita akan bertemu Kuching City, Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II). Pada hakikatnya memang kita akan berdepan kesukaran tetapi pemain-pemain saya tidak akan mengalah.
“Kita juga sedia maklum bahawa format Liga Malaysia akan banyak berubah pada tahun hadapan. Pemain-pemain saya masih muda dan masih mempunyai banyak peluang meneruskan karier bola sepak,” katanya.