ISKANDAR PUTERI: Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak menyifatkan kekalahan 5-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super kelmarin adalah yang terburuk buat pasukannya musim ini.
Katanya, ketiadaan enam pemain utama menyebabkan amat sukar buat mereka untuk mengelak daripada kekalahan besar.
Pemain yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan tidak cergas sepenuhnya ialah Irfan zakaria, J. Partiban, Zhafri Yahya, Ryan Lambert, Kenny Pallraj dan Fakrul Aiman.
“Ini adalah masalah utama pasukan kecil seperti kami, ketiadaan seorang pemain penting sudah dirasai, inikan pula hampir separuh skuad utama tidak diturunkan.
“Mahu tak mahu saya terpaksa menurunkan pemain yang pertama kali beraksi, tidak cergas sepenuhnya, hasilnya kita dapat lihat jurang yang ketara antara kedua-dua pasukan.

“Bagaimanapun, mereka sudah melakukan setakat yang termampu. Kesempatan itu digunakan pasukan tuan rumah untuk menghukum kita setiap kali membuat kesilapan,” katanya.
Bekas pengurus JDT itu berkata, walaupun KL City berada di posisi keempat dalam kedudukan Liga Super, namun jurang antara kedua-dua pasukan itu amat ketara.
“Skuad mereka terdiri daripada 30 pemain terbaik Liga Super, jauh beza jika dibandingkan dengan pemain pasukan lain. Ini beza kualiti pasukan yang bersaing dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia) dengan Piala AFC seperti kami,” ujarnya.
Hodak mengakui, kekalahan tersebut memberi tamparan buat pasukannya yang sedang membuat persiapan untuk Piala AFC bagi aksi separuh akhir Zon ASEAN menentang kelab Vietnam, Viettel FC, Rabu depan.
Pasukannya masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan secara mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan penting itu.