Sebuah restoran baharu berkonsepkan kasual fine dining semakin mencuri perhatian penggemar makanan di tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur apabila menampilkan kelainan menerusi penggunaan roti sourdough buatan sendiri.
Dikenali sebagai Belly, restoran terletak di Jalan Dang Wangi ini bukan sahaja menawarkan pengalaman menjamu selera, dengan suasana tenang, malah menjadi ruang santai komuniti menikmati sama ada sarapan pagi, makan tengahari dan juga malam.

Belly yang terletak di Jalan Dang Wangi, di tengah-tengah ibu kota, Kuala Lumpur. – Gambar FB BellyDibuka secara rasmi pada 6 September 2025, Belly diusahakan oleh pasangan ibu dan anak yang berkongsi minat mendalam terhadap dunia kulinari.
Pengasasnya, Fadlan Arif Fakhrunniam, 26, berkata, idea menubuhkan restoran itu tercetus selepas beliau pulang dari Kanada.
Arif sebelum ini melanjutkan pengajian dalam bidang matematik dan statistik di University of Toronto, selain mengambil minor dalam keusahawanan.
Sepanjang berada di Kanada, beliau turut menimba pengalaman bekerja di restoran berkonsepkan makanan Barat.

Bagaimanapun, dorongan ibunya, Rosenajehah Mohamed Ramli, 53, menjadi titik tolak untuk beliau pulang ke tanah air dan memulakan perniagaan sendiri.
“Kami memang tidak pernah berkecimpung dalam bidang F&B sebelum ini, jadi cabaran itu memang ada, terutama pada peringkat awal,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kini, selepas beberapa bulan beroperasi, Belly semakin mendapat tempat di hati pelanggan tempatan dan pelancong luar negara.
Nama Belly sendiri mempunyai maksud tersendiri yang diinspirasikan daripada proses pembuatan roti sourdough.
Menurut Arif, apabila roti dibakar, bahagian tengah roti dikenali sebagai belly, sekali gus menjadi simbol identiti restoran tersebut.
Keunikan Belly terletak pada penggunaan roti sourdough premium yang dihasilkan sepenuhnya secara in-house setiap hari.
Menu yang ditawarkan pula menggabungkan elemen Barat dan tempatan bagi memenuhi selera pelbagai lapisan pelanggan.
Antara hidangan popular termasuk chicken tenders, smoky pulled chicken sandwich dan garlic cream pasta.
Tidak ketinggalan, Mom’s Special Nasi Lemak yang selain nasi lemak biasa yang dijual serendah RM7.90 turut menjadi pilihan ramai.
Bagi penggemar burger, Belly Beef Burger yang berharga RM32.90 menawarkan pengalaman rasa yang memuaskan.
Hidangan lain seperti roti john dan donut susu juga menjadi kegemaran pelanggan tetap.
Menariknya, menu di Belly akan diperbaharui setiap dua hingga tiga bulan bagi memastikan kelainan berterusan.
Selain makanan, Belly turut menitikberatkan kualiti minuman dengan menawarkan kopi daripada biji premium serta matcha berkualiti tinggi.
Dengan kekuatan kira-kira 15 kakitangan, operasi restoran ini kini berjalan lancar dan semakin berkembang.
Belly juga aktif menganjurkan pelbagai acara komuniti seperti trivia night, permainan interaktif serta acara bertemakan trivia filem.
Ruang yang luas menjadikan restoran ini sesuai untuk pelbagai acara termasuk majlis nikah, jamuan raya dan makan malam korporat.
Malah, Belly turut menerima tempahan katering serta sering menjadi pilihan untuk makan tengah hari pejabat.
Bagi menarik lebih ramai pelanggan, mereka memanfaatkan platform seperti Instagram dan TikTok sebagai medium promosi.
Pada masa depan, Belly merancang untuk memperluaskan perniagaan melalui kerjasama acara, pembukaan pop-up stall serta penambahan menu pencuci mulut bagi terus kekal relevan dalam industri kulinari. –UTUSAN










