Siang jadi buruh bangunan, malam bermain muzik - Utusan Malaysia

Siang jadi buruh bangunan, malam bermain muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK ND Lala sejak zaman kanak-kanak lagi sudah menetapkan hala tuju sebagai penyanyi. Kerana itu, sebaik sahaja mendapat restu orang tua, beliau melangkah ke luar rumah dengan hati gembira.

ND Lala atau nama penuh Amir Hamzah Salleh dilahirkan dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Sejak memulakan pembelajaran di tingkatan satu, beliau menyimpan niat untuk bergelar penyanyi.

“Saya ke Kuala Lumpur pada 15 April 1979, datang memang mahu jadi penyanyi. Masa itu di tangan saya cuma ada 15 sen sahaja.

“Saya tidak mengenali sesiapa di KL. Yang saya tahu cuma Tugu Negara, Zoo Negara, Masjid Negara, Muzium Negara yang mana gambar-gambarnya ada di dalam buku tata rakyat.

“Semasa tujuh tahun itu, saya melakukan bermacam pekerjaan. Siang bekerja sebagai buruh bangunan, malam cari peluang bermain muzik di kelab malam.

“Sepanjang tempoh itu, saya mengikuti pertandingan nyanyian dan Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tempat pertama.

“Hampir setiap tahun saya ditawarkan merakamkan album. Tapi saya tolak, kerana ingin menjadi artis rakaman Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad Nawab. Jadi saya tunggu peluang itu,” katanya.

Kata ND Lala, dia menunggu selama tujuh tahun sebelum harapan bergelar penyanyi di bawah bimbingan Ahmad Nawab, terlaksana.

“Kemudian Allahyarham Abdul Jalil Salleh atau Mama Juwie datang berjumpa saya dan memberitahu yang Ahmad Nawab sedang mencari saya. Dia bagi nombor telefon untuk saya hubungi.

“Alhamdulillah, saya hanya dapat jadi penyanyi pada 1986, Ahmad Nawab yang menawarkan saya merakam­kan album. Selepas tujuh tahun baru berpe­luang jadi artis rakaman,” katanya.

Bercerita lanjut, ND LaLa memaklumkan proses rakaman berlaku dengan cepat dikala pertama kali dia bergelar penyanyi rakaman.

“Ada satu sejarah yang tak sama dengan artis lain adalah apabila saya ambil masa lapan jam merakam lagu dengan empat lagu pertama dirakam oleh kumpulan Steps.

“Empat jam berikutnya, saya pergi ke piano, diberikan lirik oleh Ahmad Nawab, saya dengar dan kemudian rakam. Cukup sembilan lagu.

“Saya belum dengar lagi waktu itu ada artis yang dengar dan rakam lagu sepantas itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, ND LaLa turut memak­lumkan beliau tidak menyangka yang dia tidak dikenali dengan lagu balada, sebaliknya lagu berentak joget.

“Ketika rakaman lagu itu, saya sudah dikenali sebagai hero drama. Jadi saya bayangkan saya akan bertambah terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu balada.

“Tapi, Ahmad Nawab maklumkan yang beliau ada terlihat lakonan saya dalam drama Sofia, sitkom pertama Malaysia. Dalam drama itu saya membawakan watak seorang pedandan rambut.

“Dia lihat karakter itu dan kemudian buat lagu. Saya harap saya popular dengan lagu balada, tetapi sebenarnya saya terkenal dengan lagu Buah Hati Dikebas Orang. Liriknya ditulis oleh Johari Selamat. Jadi, saya tidak dapat lagu balada. Ahmad Nawab lebih tahu lagu apa saya sesuai dengan saya waktu itu,” kongsinya.

Naik kereta api sehelai sepinggang 

Hasrat ND LaLa untuk menjadi penyanyi ditolak ibunya. Namun, berbekalkan ketabahan hati dan keinginan mendalam, beliau meneruskan

“Lepas Sijil Pelajaran Malaysia, saya minta pada ibu saya untuk jadi penyanyi. Dari sebelum menduduki peperiksaan lagi saya sudah tahu yang saya tak minat belajar.

“Ibu tak izinkan. Sehinggalah saya malam itu, ibu berbual dengan arwah ayah di ruang tamu. Waktu itu jugalah saya memaksa dia untuk beri keizinan. Katanya, suka hati kamulah.

“Saya terus masuk ke dalam, buang buku sekolah, ambil sepersalinan pakaian masukkan ke dalam beg. Lepas Isyak saya gerak.

“Ibu tegur saya, hendak pergi mana. Saya jawab ke Kuala Lumpur. Seperkara tentang kami, kalau sudah berjanji, harus ditepati. Jadi, mahu atau tidak, dia terpaksa lepaskan. Ditanya lagi, ada duit atau tidak, saya jawab ada,” ujarnya.

Berbekalkan RM6.70, ND LaLa meneruskan perjalanan ke ibu negara, tanpa membawa wang yang mencukupi, sekadar berbekalkan harapan.

“Saya pergi ke stesen kereta api Ipoh berbekalkan RM6.70. Saya tengok harga tiket bagi perjalanan menuju ke KL, kelas tiga sekitar RM6.60. Jadi lepas beli tiket, tinggal baki sebanyak 10 sen.

“Saya naik kereta api sehelai sepinggang hanya membawa sepersalinan pakaian. Yang saya tahu adalah saya mahu jadi penyanyi.

“Keretapi itu tidak menyediakan tempat duduk. Jadi terpaksalah duduk di atas lantai. Saya maklumkan kepada individu di dalam tren, beritahu sekiranya sampai ke destinasi. Sampai di KL, perkara pertama yang saya nampak adalah Masjid Negara. Jadi sasaran saya adalah ke masjid dan tidur di sana,” kongsinya.

Dalam pada itu, ND memaklumkan dia terpaksa mengikat perut ketika berada di KL kerana tidak memiliki wang yang mencukupi.

“Memang saya cuma ada 15 sen. Saya cari kerja, nampak Toshiba, saya sangka Pudu Raya, hakikatnya stesen bas klang.

“Di situ saya melihat ramai orang meninggalkan keratan akhbar yang tidak digunakan. Saya ambil keratan akhbar tersebut untuk buat carian pekerjaan.

“Yang saya fikirkan adalah bagaimana untuk hidup sahaja waktu itu. Bayangkan, sejak datang ke KL, dua hari setengah saya tidak makan,” katanya lagi.

ND LaLa tidak pernah berkongsi kesusahannya kepada siapapun. Baginya, segala kesukaran biarlah ditanggung sendiri.

“Pertama, memang mereka tidak pernah menyoal tentang latar belakang saya. Kesusahan itu biarlah saya tanggung sendiri.

“Yang penting saya dapat memberi kesenangan kepada mereka. Permulaan saya memang sengsara.

“Tapi saya berpegang kata-kata Allah, barang siapa berusaha, pasti berjaya. Macam mana dan bagaimana itu hanya Allah yang tahu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN