Cermat Madani bantu industri takaful laksana 'risk-based pricing' buat pemandu berhemah - Utusan Malaysia

Cermat Madani bantu industri takaful laksana ‘risk-based pricing’ buat pemandu berhemah

BORHANUDIN Samsudin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed menunjukkan buku laporan tahunan selepas mengadakan sidang media Pengumuman Prestasi Industri Takaful 2025 di Kuala Lumpur, hari ini - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inisiatif Cermat Madani yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya pemanduan yang lebih berhemah sekali gus menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat. 

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd. Radzuan Mohamed berkata, sebagai pemain industri di peringkat pembayar tuntutan, pihaknya amat menyokong sebarang kempen kerajaan yang mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor perlindungan malah kepada keselamatan rakyat secara keseluruhan.

Menurut beliau, pendekatan yang diambil MOT menerusi kempen tersebut sangat logik kerana ia tidak sekadar melihat kepada aspek pengurangan harga semata-mata, tetapi turut mengambil kira rekod saman dan penggunaan telematik pada masa hadapan untuk menilai cara pemanduan.

“Dari segi industri, kita melihat inisiatif ini akan membantu pelaksanaan penentuan harga berasaskan risiko. Pemandu yang berbahaya akan dikenakan premium yang lebih mahal, manakala pemandu yang baik akan mendapat harga yang lebih murah.

“Pihak industri akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus dengan MOT untuk melihat bagaimana kempen ini beroperasi, di samping memastikan kelestarian dan kesinambungan inisiatif ini dalam jangka masa panjang,” katanya kepada media selepas sesi taklimat prestasi industri di sini hari ini.

Mengulas mengenai penglibatan syarikat perlindungan, Mohd. Radzuan berkata, program Cermat Madani buat masa ini merupakan inisiatif perkongsian awam-swasta (PPP) melalui aplikasi MyJPJ yang melibatkan 10 syarikat insurans am dan pengendali takaful.

Bagi sektor takaful, katanya, daripada empat pengendali takaful kenderaan bermotor yang beroperasi di Malaysia, setakat ini hanya dua syarikat yang terlibat dalam fasa pelancaran awal iaitu Etiqa Takaful dan Takaful Ikhlas, manakala baki dua lagi ialah Syarikat Takaful Malaysia dan Zurich Takaful.

“Syarikat-syarikat di bawah MTA sebenarnya agak teruja dan mengalu-alukan inisiatif ini. Walaupun peringkat pelancaran baru melibatkan beberapa syarikat, kami berharap semua pengendali insurans dan takaful akan menyertai program ini sepenuhnya pada masa hadapan. Jika program ini mahu menjadi satu gerakan, semua pihak perlu berada di dalam kapal yang sama.

“Melalui fasa liberalisasi tarif oleh Bank Negara Malaysia (BNM), industri mempunyai ruang untuk melaraskan harga antara 15 hingga 30 peratus.

“Dengan adanya risk-based pricing yang menilai profil pemanduan melebihi faktor umur atau jenis kereta, syarikat perlindungan boleh menawarkan kadar fleksibel mengikut penilaian risiko pemandu,” katanya. 

Bagaimanapun, perkara utama yang sedang diperincikan oleh ahli MTA ketika ini adalah mengenai mekanisme perkongsian data antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan pihak industri untuk membolehkan penilaian risiko dibuat dengan tepat.

“Benda ini masih baharu, jadi kita belum tahu mekanisme sepenuhnya sama ada MyJPJ akan berfungsi secara terus atau melalui pihak ketiga.

“Apa yang penting, interaksi data ini mesti berlaku dan MTA akan bekerjasama rapat dengan MOT bagi memastikan kempen yang sangat bagus ini dapat dijayakan sepenuhnya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN