LONDON: Tidak cukup membawa masuk nama besar seperti Raheem Sterling, Marc Cucurella dan Kalidou Koulibaly, Chelsea mahu melakukan dua lagi pembelian mengejut sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.
Kelab London itu menawarkan pertukaran sensasi kepada Manchester United apabila berminat mendapatkan pertahanan tengah England, Harry Maguire.
Blues sedia menukar pemain berusia 29 tahun itu dengan bintang penyerang Amerika Syarikat (AS), Christian Pulisic, 23.
Kesukaran mendapatkan pertahanan Leicester City, Wesley Fofana yang menjadi sasaran utama Blues membuatkan mereka beralih kepada Maguire.
Minat Chelsea terhadap Maguire sesuatu yang amat mengejutkan ketika pemain itu bergelut dengan prestasi, malah mungkin direhatkan United dalam pertemuan getir menentang Liverpool esok.
Melihat kepada minat yang ditunjukkan United untuk mendapatkan kapten AS, Pulisic secara pinjaman memberi idea kepada pengendali Chelsea, Thomas Tuchel untuk membuat pertukaran paling sensasi dalam jendela perpindahan.
Selain Maguire, Chelsea juga sudah mengemukakan tawaran bernilai 15 juta pound (RM79.43 juta) untuk membawa Pierre-Emerick Aubameyang kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Tidak sampai setahun selepas meninggalkan Arsenal untuk menyertai Barcelona, Aubameyang mungkin kembali ke England dalam tempoh 48 jam dari sekarang.
Barcelona menuntut 21 juta pound (RM111.20 juta) untuk pemain antarabangsa Gabon itu yang diperoleh secara percuma daripada Gunners.
Aubameyang, 33, telah meledak 11 gol daripada 17 penampilan dalam saingan La Liga, namun perpindahannya ke Chelsea membolehkan dia bergabung dengan bekas pengurusnya di Borussia Dortmund, Tuchel. – AGENSI