Prasarana catat rekod 1.54 Juta perjalanan penumpang

Prasarana catat rekod 1.54 Juta perjalanan penumpang sempena ambang Tahun Baharu 2026

prasarana
Lebih 1.54 juta perjalanan penumpang rel dan bas direkodkan  pada 31 Disember 2025 oleh Prasarana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali  perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang, mencatatkan kejayaan operasi sempena ambang  Tahun Baharu 2026 apabila lebih 1.54 juta perjalanan penumpang rel dan bas direkodkan  pada 31 Disember 2025, peningkatan sebanyak 0.76 peratus berbanding tahun sebelumnya,  menjadikan pencapaian tertinggi dalam sejarah penubuhan Prasarana. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata  kecekapan koordinasi dan pengurusan kawalan orang ramai yang digerakkan oleh kira-kira  3,000 anggota barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang telah berjaya memastikan  pengguna perkhidmatan rel dan bas menikmati perjalanan yang lancar, selamat dan selesa  sepanjang sambutan berkenaan. 

“Keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan membolehkan perkhidmatan Rapid KL  beroperasi dengan lancar walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi di beberapa  lokasi tumpuan sambutan Tahun Baharu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal  pergerakan trafik serta melaksanakan penguatkuasaan terhadap laluan bas telah membantu  memastikan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual, meskipun keadaan trafik sangat  sesak di sekitar pusat bandar. 

Selain itu, koordinasi menyeluruh antara Pasukan Polis Bantuan Prasarana bersama  penganjur acara dan pasukan keselamatan pusat beli-belah utama, termasuk Pavillion Bukit  Bintang, TRX Mall dan Suria KLCC, turut memainkan peranan penting dalam mengurus aliran  penumpang serta memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa berada pada tahap  optimum sepanjang malam sambutan. 

Berdasarkan rekod, jumlah pengguna rel dan bas termasuk perkhidmatan Rapid On-Demand  (ROD) pada 31 Disember 2025 masing-masing adalah sebanyak 1.29 juta dan 251,737 penumpang, seperti berikut: 

Perkhidmatan rel:

LALUAN  JUMLAH PENUMPANG
Kelana Jaya  321,381
Ampang/Sri Petaling  246,885
Monorel  90,748
Kajang  396,141
Putrajaya  234,158

Perkhidmatan bas termasuk ROD: 

SERVIS  JUMLAH PENUMPANG
Rapid KL  183,944
Rapid Penang  48,002
BRT Sunway  19,791

“Kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan tahap kesiapsiagaan, dan  profesionalisme kakitangan Rapid KL dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam  dapat diurus secara berkesan, selamat dan selesa walaupun dalam situasi operasi yang  mencabar,” ujar Amir. 

Prasarana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi keselamatan serta rakan strategik atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi  sambutan Tahun Baharu 2026. 

Jutaan terima kasih juga kepada warga kota dan pelancong yang memilih menggunakan pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang dan Pulau Pinang sekali gus menyumbang  kepada kelancaran mobiliti serta menyokong agenda bandaraya lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×