PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menolak cadangan pelbagai pihak yang mahu beliau memikul tugas sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, ada calon yang lebih layak daripadanya dan beliau sendiri akan menamakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk memegang jawatan tersebut.
“Saya tak setuju kalau saya, ada calon lain lebih layak. Saya setuju kalau Dr. Samsuri jadi Pengerusi PN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, nama Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dikaitkan untuk mengetuai PN.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, beliau bersetuju dengan perkara itu yang didakwanya turut mendapat cadangan pelbagai pihak bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas mengenai perkara itu, Sanusi berkata beliau konsisten menolak jawatan itu, malah meyakini karakter Ahmad Samsuri lebih sesuai untuk menerajui PN.
“Semua yang ada pada dia adalah kriteria itu. Ya (saya akan tolak) dan saya akan cadangkan Dr. Sam (Ahmad Samsuri)” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu sejak penubuhannya. – UTUSAN










