Pengurusan bazar Ramadan perlu telus, elak wujud orang tengah - Utusan Malaysia

Pengurusan bazar Ramadan perlu telus, elak wujud orang tengah

ANWAR Ibrahim menyantuni orang ramai di Medan Selera Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya hari ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan bazar Ramadan perlu dilaksanakan dengan lebih telus agar tidak wujud penglibatan orang tengah dan ejen yang mengambil komisen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan peluang berniaga dimanfaatkan rakyat untuk menambah sumber pendapatan.

“Mengambil contoh yang dilaksanakan oleh Petaling Jaya secara lebih telus melalui pendaftaran dalam talian bagi mengelakkan penglibatan orang tengah dan ejen yang mengambil komisen.

“Ini masalah kita, masalah bantuan ini sepatutnya menjadi kesempatan kepada rakyat di peringkat bawah untuk menjalankan perniagaan dan mencari nafkah tambahan.

“Jadi, ahli-ahli pengurusan bandar raya sepatutnya memberi kerjasama supaya proses lebih teratur dan mengelakkan amalan angkat komisen,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, di sini hari ini.

Tambah Anwar, aspek kebersihan serta penyediaan kemudahan asas di bazar Ramadan juga perlu diberi penekanan termasuk memastikan bekalan air mencukupi dan pengurusan sisa pepejal yang berkesan.

Katanya, sebarang tindakan pembuangan sampah secara tidak teratur tidak akan dikompromi, dan tindakan termasuk denda akan dikenakan terhadap pihak yang ingkar.

“Kalau pihak bandar raya dan kerajaan negeri bekerjasama, saya akan berbincang dengan KPKT supaya membantu menambah baik kemudahan bazar Ramadan, khususnya daripada segi kebersihan dan kawalan persekitaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN