Bapa tenat, Mardi tak dapat bersama KDA di Bali

Bapa tenat, Mardi tak dapat bersama KDA di Bali

Mahmoud al-Mardi terpaksa pulang ke Jordan kerana keadaan bapanya yang tenat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berangkat ke Bali, Indonesia tanpa kehadiran tonggak import mereka, Mahmoud al-Mardi setelah pemain kebangsaan Jordan itu terpaksa pulang ke kampung halamannya berikutan keadaan bapanya yang tenat.

Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak memaklumkan, setakat ini masih belum pasti sama ada Mardi akan turut serta menyertai pasukan itu bagi berdepan PSM Makassar dalam saingan separuh akhir Zon Asean Piala AFC pada 9 Ogos depan.

“Mahmoud datang bertemu saya semalam dan dia jelas sedih dengan keadaan terkini bapanya. Sambil menitiskan air mata, Mahmoud meminta pelepasan untuk pulang menziarahi bapanya.

“Di pihak kami, sudah tentu nyawa lebih penting dari segalanya. Disebabkan itu, dia dibenarkan pulang tetapi Mahmoud tetap bersemangat dan berjanji yang dia akan terbang ke Bali untuk bersama kami sekiranya keadaan mengizinkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini semalam.

PEMAIN Kedah melakukan persiapan akhir untuk menentang PSM Makassar dalam separuh akhir Zon Asean Piala AFC, Selasa depan. – IHSAN KDA FC

Pasukan itu bakal berlepas ke Bali dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang ini.

Sementara itu Aidil berkata, beliau mengharapkan kalangan pemainnya supaya tidak lagi mensia-siakan peluang yang terhidang ketika berada di depan pintu gol lawan.

Dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini katanya, statistik membuktikan betapa KDA FC memiliki penguasaan lebih baik dalam segenap aspek namun tetap tewas kepada lawan akibat kegagalan menjaringkan gol serta mengelak dari dibolosi.

“Dalam statistik perlawanan termasuk menentang Sri Pahang sebelum ini, penguasaan sentiasa memihak kepada kita. Namun malangnya kita gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol dan itulah masalahnya.

“Kita kena sentiasa manfaatkan peluang kerana peluang menjaringkan gol tidak hadir selalu. Apabila anda gagal mengambil peluang menjaringkan gol, keadaan itu akan memberi tekanan kepada barisan pertahanan dan itu tentunya mendatangkan masalah kepada keseluruhan pasukan,” katanya.

Beliau dalam pada itu tetap menaruh keyakinan terhadap anak-anak buahnya bagi berdepan PSM Makkasar, Selasa depan.

“Saya selalu ingatkan pemain yang kita perlu menunjukkan betapa pasukan ini sememangnya layak beraksi di peringkat AFC. Keadaannya sama sekali berbeza apabila anda bermain di liga domestik dan peringkat lebih tinggi seperti ini.

“Bukan saja untuk Kedah, malah ini merupakan peluang buat mereka menunjukkan kemampuan di peringkat Asean. Kalau mereka menunjukkan aksi yang baik, tidak mustahil mereka akan turut diintai pasukan luar yang mungkin akan turut menawarkan kontrak buat mereka pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya