PUTRAJAYA: Seorang tukang cat didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah membantu aktiviti pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
Tertuduh, Neo Kok Wah, 48, didakwa membantu pemberi pinjaman wang tidak berlesen menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen, dengan memiliki dan menyediakan kad serta risalah pinjaman wang tanpa lesen pada Oktober 2025.
Majistret Ezrene Zakariah kemudian menetapkan hukuman itu terhadap Kok Wah dan memerintah tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi manakala Kok Wah diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail.
Terdahulu, Faizah Khalilah memohon agar tertuduh diberikan hukuman setimpal selepas mengambil kira trauma dialami mangsa selain pengajaran kepada tertuduh.
Sebelum itu, Izleen pula memohon agar hukuman ringan diberikan atas alasan anak guamnya kini menanggung tiga anak dan telah sedar kesilapannya. – UTUSAN










