KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan segera terhadap mana mana individu yang didapati mempertikai, biadab dan mempersendakan kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan pantas tanpa perlu terlebih dahulu menunggu laporan polis perlu dibuat bagi menyekat penularan berita palsu atau perbuatan melampau menerusi aplikasi media sosial.
“Jika pihak berkuasa lambat bertindak dan sekadar ‘melihat dan menunggu’ laporan polis dibuat, saya khuatir perbuatan jahat dan pencercaan terhadap institusi kesultanan Melayu akhirnya dianggap satu kebiasaan.
“Akhirnya generasi alaf baharu yang hidup di zaman kecanggihan teknologi maklumat hilang rasa hormat dan kesetiaan kepada Raja dan kesultanan Melayu sepertimana termaktub dalam piagam Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau amat berharap tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu terbabit perlu disegerakan tanpa mengira anutan politik.
“Saya juga bimbang jika pihak berkuasa lambat bertindak dan hanya menunggu laporan dibuat, akan timbul dakwaan kononnya pihak berkuasa di negara ini membudayakan ‘undang-undang terpilih’ dan tindakan lebih menjurus kepada kepentingan politik,” katanya. – UTUSAN









