AS tidak mahu Iran caj tol di Selat Hormuz - Trump - Utusan Malaysia

AS tidak mahu Iran caj tol di Selat Hormuz – Trump

TRUMP tidak mahu tol di Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis berkata bahawa AS menentang sebarang caj tol oleh Iran ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.

Beliau turut menyatakan bahawa Teheran tidak akan dibenarkan menyimpan uranium yang diperkaya tinggi, menurut laporan Anadolu.

“Kami tidak mahu tol. Ia laluan perairan antarabangsa. Sekarang mereka tidak mengenakan tol,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.

Trump mendakwa Iran sedang mengalami kerugian kewangan besar akibat sekatan terhadap aktiviti perkapalan.

Apabila ditanya sama ada Iran boleh menyimpan stok uranium diperkaya tinggi dalam sebarang perjanjian masa depan, Trump menjawab: “Tidak, kami akan ambil yang diperkaya tinggi itu. Kami akan dapatkannya.

“Kami tidak memerlukannya. Kami tidak mahu. Kami mungkin akan musnahkannya selepas mendapatkannya, tetapi kami tidak akan benarkan mereka memilikinya.”

Trump mengulangi bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.

“Kami sedang berunding sekarang dan kita akan lihat, tetapi kami akan mendapatkannya dengan satu cara atau lain. Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.

Trump berkata, AS sedang memantau rundingan yang dilaporkan antara Iran dan Oman berhubung kemungkinan tol di Selat Hormuz.

Beliau menyatakan bahawa tentera AS mengawal sepenuhnya lalu lintas maritim di laluan strategik itu.

Apabila ditanya sama ada wajar Iran berunding dengan Oman untuk menetapkan caj tol rasmi bagi kapal yang melalui Selat Hormuz, Trump berkata: “Kami sedang melihatnya; kami mendengarnya.”

Beliau turut mendakwa AS telah melaksanakan sekatan efektif di rantau itu.

“Kami mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, seperti yang anda tahu, dengan sekatan kami.

“Sekatan itu 100 peratus berkesan. Tiada siapa boleh lalu. Ia seperti dinding besi,” katanya.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari. Teheran kemudian bertindak balas dengan serangan ke atas Israel dan sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal mencapai perjanjian berkekalan. 

Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata tanpa had sambil mengekalkan sekatan ke atas kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran melalui Selat Hormuz. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN