fbpx

Aznil buru emas Sukan Asia

MUHAMMAD Aznil Bidin menerima sambutan wira sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dari Sukan Komanwel 2022 di Birmingham kelmarin.- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

PETALING JAYA: Selepas mencipta sensasi merangkul pingat emas angkat berat Sukan Komanwel Birmingham 2022, Muhamad Aznil Bidin memasang impian besar memburu pingat emas pada Sukan Asia di Hangzhou, China tahun depan.

Badang negara itu mempunyai misi serampang dua mata pada edisi ke-19 temasya, menjadi atlet angkat berat pertama negara menaiki podium angkat berat dalam sejarah Sukan Asia, selain memburu mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Misi utama untuk layak ke Sukan Olimpik, namun saya perlu memastikan angkatan bebanan di Sukan Asia terbaik bagi buru pingat sebab belum pernah ada atlet angkat berat (Malaysia) menang pingat temasya itu.

“Kalau mahu pergi Olimpik saya perlu menyertai sekurang-kurangnya empat kejohanan tetapi markah mesti sempurna.

“Salah satu medan memburu mata ialah Sukan Asia, jadi saya mesti memberikan yang terbaik di sana,” katanya.

MUHAMMAD Aznil Bidin ketika meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara angkat 61 kilogram di Sukan Komanwel Birmingham, minggu lalu. – AFP

Bagi menggapai misi tersebut, atlet berusia 28 tahun itu ­mengakui bakal berdepan saingan hebat dari atlet seperti China, Indonesia dan Vietnam.

Aznil juga memberitahu, Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember depan adalah pertan­dingan terdekat untuk beliau menguji ketahanan mental dan fizikal dalam mempersembahkan aksi terbaik.

Beliau berkata, selepas memenangi emas pada Sukan Komanwel Birmingham, dia kembali meneruskan latihan bagi memperbaiki kelemahannya.

“Saya akan menyertai kejohanan di Colombia untuk kutip mata.

“Saya yakin dengan strategi yang ditetapkan jurulatih Yon Haryono sebab lepas menang emas di Birmingham saya terus berlatih tanpa henti,” ujarnya.

AZNIL Bidin (tengah) meraikan kejayaan memenangi emas angkat berat 61kg bersama Morea Baru (kiri) dan P. Gururaja di Birmingham hari ini. – AFP

Atlet kelahiran Kedah itu mencipta sensasi mengungguli saingan kategori 61 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan keseluruhan 285 kilogram (kg) iaitu 127kg dalam snatch dan 158kg untuk clean & jerk 158kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Komanwel minggu lalu.

Kejayaan tersebut memboleh­kannya mempertahankan pingat emas yang dimenangi temasya 2018 di Gold Coast, Australia.

Dia berkata demikian emasa tiba ke tanah air dari Birmingham bersama Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Erry Hidayat dan jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!