MELAKA: Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner menyalahkan mutu pengadilan Muhammad Nazmi Nasaruddin punca kekalahan 2-0 pasukannya kepada Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat kelmarin.
Menurutnya, gol pertama Ifedayo Olusegun pada minit ke-39 sepatutnya tidak dibenarkan kerana penyerang Nigeria itu berada pada posisi ofsaid.
Beliau turut mempertikaikan keputusan pengadil tidak memberi sepakan penalti selepas penyerangnya, Herlison Caion yang dijatuhkan oleh pertahanan Melaka di kawasan kotak penalti pada babak pertama.
“Saya lihat rakaman jelas Caion telah dijatuhkan di kawasan kotak penalti tetapi pengadil sebaliknya tidak memberikan penalti.
“Gol awal Ifedayo juga jelas menunjukkan pemain itu pada posisi ofsaid tetapi pengadil membenarkan gol,” katanya selepas tamat perlawanan.

Jurulatih berasal dari Jerman itu berkata, sepatutnya pengadil perlu peka dengan situasi genting seperti itu agar dapat membuat keputusan yang baik dan adil kepada kedua-dua pasukan.
Tegasnya, jika pengadil membuat keputusan bijak, sudah pasti pasukannya lebih awal menjaringkan gol jika kekasaran ke atas Caion dihadiahkan sepakan penalti.
“Aksi Melaka United tidak ada yang mengujakan pada babak pertama.
“Sebaliknya sangat jelas pemain saya menguasai aksi dengan banyak serangan dilakukan,” ujarnya.
Begitupun kata Feichtenbeiner, gol kedua Ifedayo pada minit ke-57 telah mematahkan semangat kesebelasan utamanya dan terpaksa akur dengan kekalahan 2-0.