LONDON: Impian Cristiano Ronaldo untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim depan dengan menyertai pasukan lain tidak kesampaian apabila Chelsea, Bayern Munich dan Paris Saint-German (PSG) memutuskan tidak akan menandatangani bintang Manchester United itu.
Keputusan semasa itu memastikan ikatan pemain berusia 37 tahun tersebut bersama Red Devils kian ternoktah dan dengan pemain antarabangsa Portugal ini akan bermain di pentas Liga Europa musim depan.
Ini adalah kali pertama Ronaldo beraksi dalam Liga Europa sejak dia memulakan karier di Sporting Lisbon dua dekad lalu.
Pilihan ‘melarikan diri’ semakin hampir untuk Cristiano Ronaldo memastikan impiannya tercapai dengan menyertai Chelsea namun Blues merupakan kelab terbaharu yang menolak peluang untuk membelinya dari Manchester United.

Walaupun bos Chelsea, Thomas Tuchel sedang membina semula Chelsea mengikut imejnya sendiri namun Ronaldo tidak pernah sesuai dengan perancangannya.
Membawa masuk Ronaldo ke dalam rancangan itu akan menjejaskan keseimbangan dalam pasukan dan ia juga akan membayangi pembelian Raheem Sterling, Manchester City.
Ditambah pula dengan ikrar pengurus baharu United, Erik ten Hag untuk memberi nafas baru kepada United, tiada jaminan sama sekali mereka akan kembali dalam pertandingan kelab elit Eropah dalam masa terdekat.

Ronaldo telah memenangi Liga Juara-Juara lima kali tetapi prospeknya untuk bermain dalam pertandingan itu musim depan semakin berkurangan.
Ketua pasukan Portugal itu sebelum ini dikaitkan dengan Bayern sebagai pengganti Robert Lewandowski tetapi gaji mewahnya yang menghampiri 500,000 pound (RM2.2 juta) seminggu bukanlah sesuatu yang realistik akan diterima oleh juara Jerman itu yang telah menandatangani bintang Liverpool, Sadio Mane. – AGENSI