PETALING JAYA: Kalahkan Kuala Lumpur City (KL City) pada pusingan kedua Piala FA malam ini atau keadaan akan menjadi bertambah buruk buat Selangor.
Enggan mengulas mengenai desakan penyokong mahu jurulatih, Michael Feichtenbeiner dipecat ekoran kekalahan 2-0 kepada Melaka United, Selasa lalu, pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid sebaliknya menggesa pemain bangkit jika mahu mengembalikan keyakinan peminat.
Mahfizul juga enggan mengulas ketika ditanya benarkah pertemuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menjadi ‘talian hayat’ buat Feichtenbeiner sebelum kontraknya dinilai semula.

“Saya fikir semua pemain tahu tanggungjawab mereka untuk bermain sebaik mungkin bagi mengembalikan semula sokongan peminat Selangor dan memastikan pasukan dapat mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan tahun ini.
“Dengan kemenangan juga, ia setidak-tidaknya ia boleh membantu kita mendapat momentum semula selepas kekalahan kepada Melaka baru-baru ini.
“Format pertandingan Piala FA berbeza dan kadang-kadang ia hasilkan keputusan luar jangka, kita tahu dalam perlawanan ini, KL City adalah pasukan pilihan berdasarkan prestasi semasa mereka yang layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.

“Apabila KL City FC jadi pasukan pilihan, ia mengurangkan tekanan kepada pemain dan kita harap mereka boleh ambil peluas atas situasi sekarang dan manfaatkan segala peluang yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selangor dan KL City akan bersaing merebut slot suku akhir Piala FA untuk berdepan Sabah FC yang telah melayakkan diri lebih awal.
Bagaimanapun, persembahan Selangor dalam aksi Liga Super ketika ini tidak menentu, termasuk kalah kepada Melaka pada perlawanan terakhir yang mendatangkan kemarahan penyokong sehingga mendesak Feichtenbeiner dipecat.