PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi meninggal dunia pada usia 84 tahun, Sabtu lalu.
Bekas atlet polo air itu memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan dan sumbangan profesionalnya memajukan pergerakan Olimpik di Malaysia.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan menzahirkan rasa terima kasih kepada bekas setiausaha agung yang telah lama berkhidmat itu.
“Beliau dikenali ramai sebagai salah seorang individu yang bertanggungjawab untuk MOM. Beliau telah berada di sana dari tahun awalnya hinggalah badan induk ini berdiri teguh sehingga ke hari ini,” kata Mohamad Norza.
Kok Chi yang dilahirkan pada 8 November 1938 telah menawarkan perkhidmatannya secara sukarela kepada MOM sejak 1974, di mana beliau telah berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas sebelum dipilih sebagai setiausaha kehormat pada 1992.
Beliau menumpukan kerjayanya kepada MOM sepanjang berkhidmat sebagai setiausaha kehormat (1992-2013), setiausaha agung (2013-2015), dan penolong setiausaha agung (2015-2018).
“Kok Chi meninggalkan legasi yang luar biasa, seperti penubuhan struktur pentadbiran MOM, makan malam tahunan MOM dan malam anugerah, Anugerah Olympian of the Year, Dewan Kemasyhuran MOM, dan Program Pemasaran dan Penajaan MOM.
“Beliau juga memainkan peranan dalam Dana Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee, Dana Amanah MOM, dana kategori B, dasar pembayaran balik untuk penyertaan dalam permainan pelbagai sukan, dan banyak lagi,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE